Perdana Menteri Anwar Ibrahim menolak dakwaan bahawa Malaysia telah melepaskan haknya ke atas kawasan yang dipertikaikan di Laut Sulawesi, dan menegaskan rundingan dengan Indonesia masih berjalan yang turut melibatkan kerajaan Sabah.
Bercakap semasa majlis penutupan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan di Kota Kinabalu, Anwar berkata sebarang persetujuan berkaitan sempadan maritim atau kerjasama minyak dan gas mestilah mematuhi kerangka perundangan dan sejarah, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982, dan yang paling penting, mendapat persetujuan kerajaan Sabah.
“Ia (kawasan itu) dinamakan Ambalat oleh Indonesia, kita panggil Laut Sulawesi. Ada yang buat tuduhan dalam Parlimen kata, ‘wah, sudah selesai’,” katanya sekali gus menolak dakwaan bahawa kerajaan persekutuan secara senyap mencapai perjanjian dengan Jakarta berkenaan kawasan yang dipertikaikan itu.
“Kita mesti bincang dalam Parlimen mengikut undang-undang, mengikut UNCLOS 1982, mengikut sejarah terdahulu, dan ia mesti dipersetujui oleh kerajaan negeri Sabah.
“Dan akhirnya, pendirian sah negeri inilah yang kita putuskan dalam mesyuarat rasmi ini, bukan contengan dan penipuan di bawah sana,” tegasnya.
Turut hadir pada acara itu ialah Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor dan anggota kabinet negeri.
Tersinggung
Anwar berkata dia tersinggung dengan dakwaan daripada pemimpin negeri bahawa cara mengendalikan isu ini tidak telus, sambil menegaskan pentadbirannya telah bertindak dengan niat yang baik dalam perbualannya dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, yang disifatkannya sebagai “keluarga”.
“Saya mewakili kerajaan persekutuan untuk mempertahankan hak negeri Sabah, walau seinci pun tidak akan kita korbankan.
“Ini negara kita. Kita telah belanjakan puluhan juta ringgit, mungkin mencecah seratus juta, seluruh dunia mempertahankan hak Sabah, tidak membenarkan walau seinci laut atau darat diceroboh sesiapa pun,” katanya, merujuk kepada tuntutan Malaysia menentang tuntutan timbang tara AS$15 bilion oleh waris Kesultanan Sulu.

Malaysia berjaya mencabar keputusan timbang tara itu dan menghalang cubaan penguatkuasaan dalam beberapa bidang kuasa.
Anwar turut menjelaskan bahawa sebarang kerjasama minyak dan gas pada masa hadapan di kawasan tersebut akan berdasarkan pendekatan pembangunan bersama, seperti yang diamalkan Malaysia dengan Vietnam dan Thailand, tanpa menjejaskan kedaulatan negara.
“Kita sedang berunding dengan jiran. Bukan kita menyerah kalah, tetapi kita berunding dengan cara yang baik.
“Jika minyak itu sebahagiannya dalam sempadan Malaysia dan sebahagiannya dalam sempadan Indonesia, maka mesti ada kerjasama.
“Walaupun minyak itu kita keluarkan dari kawasan Sabah, tetapi rizab minyak di bawahnya melintasi ke tanah Indonesia, maka kerjasama itu mesti ada,” katanya.
Undang kritikan
Bulan lalu, Anwar mencadangkan agar Malaysia dan Indonesia meneruskan pembangunan bersama di zon maritim yang dipertikaikan itu tanpa menunggu penyelesaian undang-undang.
Cadangan itu mengundang kritikan daripada pemimpin Sabah, termasuk Timbalan Ketua Menteri Jeffrey Kitingan yang mendakwa negeri itu tidak dirujuk.
Kawasan yang dipertikaikan itu, terletak di Laut Sulawesi di luar pesisir timur Sabah dan Kalimantan Utara, dipercayai mengandungi rizab minyak dan gas serta tertakluk kepada tuntutan bertindih antara Malaysia dan Indonesia.
Pada 23 Julai, Ahli Parlimen Semporna, Shafie Apdal berkata sempadan maritim Sabah, termasuk kawasan Ambalat atau Laut Sulawesi, tidak boleh diubah tanpa kelulusan kerajaan negeri.
Bercakap di Parlimen, dia turut menuntut ketelusan mengenai faedah yang akan diperoleh Sabah daripada sebarang perbincangan atau cadangan berkaitan, selain menekankan keperluan untuk rundingan jelas dan manfaat kepada negeri itu.