Malaysia Oversight

Warisan janji hapus hutang pinjaman pelajaran anak Sabah

By MkiniBM in August 2, 2025 – Reading time 2 minute
Warisan janji hapus hutang pinjaman pelajaran anak Sabah


Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal berjanji partinya akan melupuskan atau membayar balik pinjaman pendidikan termasuk Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), apabila Sabah mencapai kekuatan kewangan di bawah kepimpinannya.

Menurut Shafie, rancangan itu akan merangkumi pinjaman pengajian Yayasan Sabah dan hutang PTPTN yang ditanggung graduan dari negeri tersebut.

“Kalau Sabah ada dana yang mencukupi, saya akan beri biasiswa percuma kepada anak-anak kita untuk masuk universiti.

“Saya juga akan lupuskan semua pinjaman pelajaran kepada Yayasan Sabah yang ditanggung oleh pegawai , sama ada yang masih berkhidmat atau sudah bersara,” katanya ketika berucap pada Majlis Penerima Anugerah Cemerlang STPM dan Penyerahan Sumbangan Smart TV di Semporna pada Sabtu.

04b0bb0dfa78e4a2d46e9ae005c2037e

“Graduan yang bekerja tetapi masih dibebani hutang PTPTN, yang bergelut membayar sewa atau membeli kereta — saya akan selesaikan pinjaman mereka. Dana itu akan dikhaskan untuk anak Sabah,” katanya.

Shafie berkata cadangan itu untuk memastikan kekayaan negeri dimanfaatkan secara langsung oleh rakyatnya.

Katanya, janji ini juga dilihat sebagai antara isi manifesto pilihan raya Warisan yang berpotensi dilaksanakan jika parti itu kembali berkuasa pada pilihan raya negeri akan datang.

Setakat ini, belum ada negeri di Malaysia yang melupuskan sepenuhnya hutang PTPTN, meskipun Sarawak memperkenalkan skim bayaran balik separa pada 2021 yang menanggung 30 peratus hutang layak.

Dalam ucapannya juga, Shafie berkata Warisan juga akan membiayai biasiswa penuh kepada anak Sabah untuk melanjutkan pelajaran ke universiti, sebaik sahaja kewangan negeri kukuh — sebagai satu bentuk pelaburan terhadap generasi akan datang.

Jelasnya biasiswa itu akan disasarkan kepada bidang kritikal seperti kejuruteraan dan perubatan, supaya belia tempatan dilengkapi kemahiran pekerjaan sebenar dan tidak terbeban dengan hutang selepas tamat pengajian.

Shafie menegaskan pembangunan bakat anak Sabah penting untuk mengangkat keluarga keluar daripada kemiskinan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.

Prihatin kes Zara Qairina

Dalam perkembangan lain, Shafie turut melahirkan kebimbangan berhubung kematian pelajar perempuan berusia 13 tahun, Zara Qairina, yang dilaporkan terjatuh dari asrama sekolahnya di Papar.

“Baru-baru ini juga berlaku kejadian di mana seorang pelajar jatuh dari sekolah dan meninggal dunia.

“Kalau betul — dan kita bukan tuduh sesiapa — kalau ada kes buli di sekolah, tindakan tegas perlu diambil,” katanya.

Tambahnya, ibu pelajar berkenaan telah meminta agar bedah siasat dijalankan, sambil mengambil maklum kebimbangan dalam kalangan ibu bapa dan masyarakat terhadap kes tersebut.

“Apa yang merisaukan saya ialah semalam, ibunya sendiri minta agar bedah siasat dilakukan. Ini menunjukkan dia memang ada keraguan.

“Kita tak mahu timbul spekulasi dan tuduhan yang menular di media sosial. Ini tak elok. Kalau siasatan boleh dilakukan dengan cepat, ia akan meredakan keadaan,” kata Shafie.

[Baca berita asal]



Source link