Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying memberi jaminan mekanisme baru yang dicadangkan untuk membolehkan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pengeluaran secara bulanan selepas bersara tidak akan menjejaskan pencarum sedia ada.
Lim berkata mekanisme baru itu hanya akan terpakai kepada ahli KWSP baru yang mendaftar selepas dasar tersebut dikuatkuasakan.
“Ini hanyalah satu cadangan awal, dan kerajaan Madani komited untuk terus mendengar pandangan rakyat serta menjalankan libat urus menyeluruh sebelum sebarang pelaksanaan dibuat.
“Tujuannya adalah jelas — memastikan rakyat dapat mengurus simpanan persaraan dengan lebih tersusun, adil dan mampan,” katanya pada satu hantaran di media sosial.

Pencarum sedia ada juga boleh memilih untuk menyertai struktur baru ini secara sukarela sekiranya mereka mahu.
Lim turut menjelaskan simpanan KWSP pada masa depan akan dibahagikan kepada dua bahagian:
Dia berkata struktur akaun baru yang dicadangkan oleh KWSP itu bertujuan mengukuhkan keselamatan kewangan rakyat Malaysia selepas bersara dan memastikan aliran tunai yang lebih stabil dan berjangka panjang bagi ahli dalam tempoh persaraan mereka.
Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kerajaan menyatakan ia sedang meneroka satu mekanisme baru untuk memastikan pendapatan berterusan selepas persaraan melalui bayaran pencen bulanan, berbanding sistem semasa yang membenarkan pengeluaran secara sekaligus apabila bersara.
Mekanisme ini kata kerajaan, akan membolehkan caruman KWSP dibahagikan kepada dua komponen – simpanan persaraan dan pencen persaraan.
Melalui usaha ini, pekerja boleh mengeluarkan sebahagian daripada simpanan mereka sambil menerima bayaran pencen bulanan selepas bersara, menurut dokumen RMK13.
Susulan kebimbangan awam, KWSP menjelaskan cadangan itu masih dalam kajian mendalam, dan sebarang keputusan hanya akan dibuat selepas mendapatkan maklum balas yang menyeluruh.