Sebanyak 55 daripada 2,196 bas yang diperiksa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang diambil tindakan atas pelbagai kesalahan menerusi Op Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar.
Pengarah JPJ Pahang Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman berkata 143 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk sitaan ke atas sebuah bas semasa operasi dilaksanakan dari 1 hingga 30 Julai lalu.
“Daripada jumlah bas yang diperiksa hanya 2.5 peratus atau 55 bas dikenakan tindakan.
“Ia melibatkan 38 bas ekspres, 16 bas persiaran dan satu bas lain.
“Melihat kepada peratusan itu, kadar pematuhan adalah tinggi,” katanya kepada pemberita pada penutup Op Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar di Terminal Sentral Kuantan di Kuantan, semalam.
Dia berkata operasi selama sebulan itu melibatkan 129 anggota terdiri daripada 90 anggota JPJ, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (10), Jabatan Pendaftaran Negara (11), dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (18).
Mengulas operasi yang dijalankan semalam pula, Syed Ahmad Khirulanwar berkata JPJ Pahang menahan sebuah bas ekspres yang membawa 27 penumpang dari Kuantan ke Terminal Bersepadu Selatan kerana gagal menepati spesifikasi ketebalan bunga tayar perlu melebihi 1.6 milimeter (mm).
Katanya JPJ mengarahkan syarikat bas berkenaan untuk menukar tayar dengan segera atau mengantikan bas lain bagi memastikan keselamatan penumpang.
“Kadar minimum ada 1.6 mm sedangkan kadar yang direkodkan bagi tayar bas tersebut adalah 0.6 mm.
“Dalam kes ini syarikat bas telah membawa bas gantian yang turut diperiksa melibatkan semakan dokumen pemandu dan bas, tayar, sistem brek serta pelaksanaan pemakaian tali pinggang keledar,” katanya.
– Bernama