Timbalan Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Muhammad Hafiz Alias menjadi pemimpin terbaru dipanggil oleh pihak polis untuk memberi keterangan berhubung satu hantaran di media sosial berkaitan Perhimpunan Turun Anwar yang diadakan Sabtu lalu di Kuala Lumpur.
Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini.
“Seorang lagi pemuda Perikatan Nasional dipanggil untuk memberi keterangan di Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.
“Satu posting mendoakan kematian Perdana Menteri dimuat naik dalam group Whatsapp berkaitan Himpunan Turun Anwar di mana admin group tersebut adalah Hafiz.
“Semua admin group akan dipanggil untuk memberi keterangan berhubung pesanan tersebut,” kata Shafiq.
Malaysiakini sedang mendapatkan pengesahan daripada pihak polis berhubung perkara itu.
Pada 29 Julai, Pemuda Bersatu (Armada) mendakwa dua ahli Bersatu ditahan polis berhubung himpunan Turun Anwar.
Menurut ketua penerangannya Harris Idaham Rashid, mereka yang ditahan adalah Setiausaha Kerja Armada Perak, Furqan Hakimi dan ahli bernama Syafiq Aziz.

Penahanan itu adalah yang kedua susulan penahanan pemimpin Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali dengan nama Chegubard pada 28 Julai lalu, selepas laporan polis dibuat terhadapnya berhubung himpunan itu.
Peguamnya Rafique Rashid Ali berkata, Chegubard disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil (tingkah laku menghina), Seksyen 504 Kanun Keseksaan (menghina dengan sengaja dengan niat untuk mencetuskan pecah keamanan), Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan Seksyen 4(1) Akta Hasutan.