Malaysia Oversight

PN desak Sidang Khas Parlimen bahas implikasi ART batal

By Utusan in March 16, 2026 – Reading time 2 minute
Salahkan pembangkang hanya tutup kelemahan kerajaan


PETALING JAYA: Sidang Khas Parlimen perlu diadakan segera bagi membolehkan Ahli Parlimen diberikan taklimat penuh serta membahaskan implikasi pembatalan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, langkah tersebut penting bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti serta membolehkan Parlimen memainkan peranan sewajarnya dalam meneliti hala tuju dasar perdagangan negara serta kepentingan jangka panjang ekonomi.

“Ini termasuk persoalan berkait hala tuju hubungan perdagangan antara Malaysia dengan AS selain menunaikan hak Parlimen untuk dimaklumkan mengenai sebarang komitmen atau konsesi yang mungkin telah diberikan dalam rundingan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, perkembangan itu menimbulkan persoalan serius mengenai kedudukan sebenar rundingan dan komitmen yang telah dibuat di bawah perjanjian tersebut sebelum ini.

Katanya, perkara itu turut memberi kesan terhadap industri eksport, sektor pembuatan, rantaian bekalan serta kepastian dasar pelaburan negara.

“Hakikat bahawa ART kini terbatal susulan perkembangan perundangan di AS mengesahkan kepentingan pendekatan yang lebih berhati-hati serta penelitian menyeluruh sebelum negara terikat dengan sebarang komitmen perdagangan antarabangsa.

“Sehubungan itu, PN menggesa memberikan penjelasan segera dan menyeluruh mengenai status sebenar perjanjian tersebut, termasuk implikasi ekonomi dan diplomatiknya kepada Malaysia serta langkah yang sedang dan akan diambil bagi melindungi kepentingan negara,” katanya.

Takiyuddin berkata, PN akan terus memantau perkembangan tersebut dengan teliti serta memainkan peranan proaktif bagi memastikan kepentingan Malaysia kekal menjadi keutamaan dalam setiap keputusan dasar perdagangan kerajaan.

“Dalam keadaan ketidaktentuan perdagangan global yang semakin meningkat, kejelasan dasar serta keyakinan pelabur terhadap Malaysia menjadi semakin penting.

“PN percaya mana-mana perjanjian perdagangan strategik yang mempunyai implikasi besar terhadap dasar perdagangan, ruang dasar negara serta kepentingan ekonomi nasional mesti ditangani dengan tahap ketelusan dan penelitian institusi yang tinggi,” katanya. – UTUSAN





Source link