Berikut antara inti pati ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030 bertemakan Melakar Semula Pembangunan di Dewan Rakyat hari ini.
Pertama – Tatakelola baik. Kerajaan Madani meneruskan usaha memperkukuh integriti dan akauntabiliti, mempertingkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam serta memantapkan pengurusan fiskal.
Kedua – Meningkatkan kerencaman ekonomi secara menyeluruh kepada penciptaan nilai dalam semua sektor ekonomi.
Ketiga – Pembangunan yang terangkum dan responsif dengan keutamaan untuk menaikkan lantai dan darjat kehidupan rakyat.
-
Dalam tempoh RMK13, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar disasarkan antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus setahun, diterajui oleh permintaan domestik, terutama penggunaan dan pelaburan swasta.
-
Penambahbaikan tatakelola ditumpukan kepada tiga aspek iaitu menginstitusikan kerajaan yang cekap dan berkesan, menyediakan perkhidmatan berpaksikan rakyat serta memastikan kekuatan fiskal dan impak perbelanjaan negara sampai kepada golongan sasar.
– Bernama