Adun DAP, M Thulsi, mendakwa dia mendapat panggilan yang mendesak dia memohon maaf atas kenyataan berhubung kedudukan MIC dalam kerajaan, atau berdepan kempen fitnah yang bukan saja ditujukan kepadan dirinya malah melibatkan keluarga.
“Amat membimbangkan untuk melihat sejauh mana MIC sanggup bertindak.
“Saya juga dapat melihat usaha yang diselaraskan di media sosial. Terdapat desakan yang jelas untuk mendesak saya meminta maaf dan mengalihkan kesalahan kepada saya,” kata anak perempuan bekas Ahli Parlimen DAP, M Manogaran, itu.
Adun Buntong itu menambah, maklum balas pada catatan media sosialnya juga menunjukkan pengkritik bertindak dalam nada menghina.
“Memang malang apabila usaha dan penyelarasan ini digunakan untuk menutup kritikan, bukannya untuk membina dan memartabatkan masyarakat.
“Tindakan mereka itu mendedahkan dengan tepat apa yang mereka perjuangkan: bukan keadilan, bukan komuniti, tetapi perlindungan diri dalam apa cara sekali pun,” tambahnya dalam catatan Facebook.
Walaupun serangan bertubi-tubi, Thulsi menyatakan dengan jelas: dia tidak akan berdiam diri.
Dia juga menegaskan bahawa tiada seorang pun pengkritiknya menangani isu asas kenyataannya atau menjelaskan mengapa MIC berasa berhak untuk mendapat jawatan kabinet dengan hanya satu kerusi parlimen.
“Sekali lagi, apabila saya berkata ‘berhenti atau selesaikan’, saya betul-betul maksudkan itu.
“Jika anda berada dalam kerajaan, maka bertindaklah seperti parti yang memerintah.
“Biar saya jelaskan – saya tidak akan meminta maaf,” katanya.
Thulsi telah menimbulkan kemarahan MIC apabila dia mencadangkan parti itu meninggalkan kerajaan berikutan kenyataan timbalan presiden parti terbabit, M Saravanan, yang mendakwa mereka dilayan seperti “tetamu tidak diundang”.
“Jika MIC benar-benar berasa terkilan dan terpinggir, ia harus menunjukkan keyakinannya dengan mengosongkan semua jawatan kerajaan tanpa teragak-agak.
“Seseorang tidak boleh menikmati keistimewaan berada dalam kerajaan, memegang peranan penting, mengambil gaji, dan mendapat manfaat daripada gabungan itu sambil terlibat dalam kritikan dan rasa tidak puas hati yang berterusan,” katanya.
Kenyataannya itu mendapat tindak balas pantas daripada Ketua Pemuda MIC K Arvind, yang membalas dengan menyeru DAP untuk melihat cermin dengan teliti.