Anwar Ibrahim tidak kekurangan musuh politik. Hampir segala bentuk label dilemparkan terhadap beliau sejak sekian lama. Dalam tempoh kebelakangan ini, usaha pembunuhan watak terhadap beliau semakin digiatkan, terutamanya oleh pembangkang yang sibuk menganjurkan siri perhimpunan untuk membina persepsi penolakan rakyat. Namun sambutannya hambar.
Taktik menjejaskan imej perdana menteri tidak menghasilkan kesan seperti yang diharapkan, malah video-video parodi daripada penyokong pembangkang lebih mendapat perhatian berbanding ucapan pemimpin mereka yang kelihatan kosong isi.
Dalam suasana itu, Anwar kekal tenang dan konsisten. Beliau cukup berdiplomasi dengan memberi ruang kepada perhimpunan dijalankan secara sah, tanpa gangguan atau tekanan. Beberapa hari usai kegagalan mobilisasi pembangkang, tumpuan terhadap Anwar berubah secara mendadak.
Nama beliau tiba-tiba menjadi sebutan di peringkat antarabangsa apabila berjaya mempertemukan dua negara yang berkonflik — Thailand dan Kemboja — dalam rundingan rasmi di Putrajaya. Kehadiran Hun Manet, perdana menteri Kemboja, serta Phumtham Wechayachai, pemangku perdana menteri Thailand, menyaksikan persetujuan kepada gencatan senjata yang menjadi titik penting dalam usaha keamanan serantau.
Ini bermakna, Anwar berjaya mengelakkan pertumpahan darah yang berpotensi membawa kesan besar kepada kedua-dua negara terlibat serta menambah satu lagi episod ketegangan dalam rangkaian konflik global yang sedia wujud.
Melihat kepada perkembangan positif ini, sudah tentulah pemimpin pembangkang tidak senang duduk. Seperti cacing kepanasan, maka, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, tidak semena-mena memuat naik satu karikatur yang menyamakan Anwar, Hun Manet dan Phumtham Wechayachai sebagai haiwan.
Tindakan ini disiarkan sebelum rundingan damai di Putrajaya, dan mesejnya jelas. Ia ditujukan untuk memperlekeh peranan Anwar sebagai fasilitator, namun kesan lebih luas turut dirasai apabila imej dua pemimpin negara jiran turut direndahkan. Tindakan ini mencetuskan kecaman kerana ia bukan sekadar menyerang individu, tetapi menggugat kehormatan proses diplomatik yang sah.
Dalam kerangka politik yang matang dan bertamadun, ini merupakan penyimpangan akhlak yang serius. Ahli politik yang bertanggungjawab seharusnya memahami perbezaan antara kritikan yang membina dengan penghinaan yang merosakkan reputasi negara.
Kritikan terhadap pentadbiran Anwar boleh terus dilontarkan dalam pelbagai aspek. Itu keizinan yang wajar dalam sistem demokrasi. Namun, tindakan menghina secara terbuka memperlihatkan ketidakmatangan politik saudara Fadhli. Tindakan menyebarkan karikatur yang merendahkan martabat tiga pemimpin negara, termasuk dua pemimpin asing yang hadir dalam rundingan rasmi, memberi kesan langsung terhadap imej Malaysia. Reputasi peribadi dan maruah negara terheret sekali gus mencalar usaha diplomatik yang sedang memperkukuh kedudukan Malaysia dalam landskap serantau.
Kefahaman geopolitik
Kejayaan mempertemukan Thailand dan Kemboja dalam rundingan rasmi membuktikan keupayaan Anwar Ibrahim membina kepercayaan dalam konteks diplomasi yang mencabar. Rundingan antara dua negara jiran yang lama terperangkap dalam pertelagahan hanya dapat berlaku apabila fasilitatornya dihormati dan diyakini. Dalam hal ini, Anwar menampilkan kefahaman geopolitik serta hubungan strategik yang konsisten dengan kedua-dua negara tersebut.
Keberhasilan ini memberi isyarat bahawa Malaysia masih memiliki tempat yang dihormati dalam diplomasi serantau. Kepimpinan seperti ini wajar dinilai sebagai aset strategik negara, dan setidak-tidaknya perlu diteladani oleh pemimpin barisan pembangkang. Tindakan yang mengharumkan nama negara tidak sepatutnya dijadikan bahan penghinaan.
Apa yang dilaksanakan oleh Anwar dalam hal ini ialah tindakan yang terpuji dan selari dengan prinsip Islam yang mengangkat nilai damai, hikmah dan maruah dalam berpolitik.
Dalam sejarah Islam sendiri, Nabi Muhammad menjadi pendamai kepada pelbagai konflik antara kabilah, bahkan sebelum diangkat sebagai Rasul. Ketika dinding Kaabah hampir runtuh akibat pertikaian tentang siapa yang paling layak mengangkat Hajarul Aswad, Baginda tidak meninggikan suara.
Sebaliknya, Baginda membentangkan sehelai kain, meletakkan batu itu di tengah, dan meminta setiap wakil kabilah memegang sudut kain tersebut bersama. Semua pihak diberi ruang, tiada yang merasa tersisih dan maruah setiap kabilah terpelihara.
Kita juga diajar bahawa usaha mendamaikan dua pihak yang bertelingkah ialah lambang hikmah dan kebijaksanaan. Ia lahir daripada keinginan menjaga keharmonian dan menegakkan keadilan. Seperti yang disebut dalam Surah An-Nisa’, ayat 128 (bermaksud): “Dan perdamaian itu lebih baik.”
Maka, amat jelas bahawa tidak ada salahnya dalam usaha perdana menteri menjayakan perdamaian di rantau ini. Tindakan Fadhli dalam hal ini amat mengelirukan. Ia menyerlahkan kekaburan nilai, terutamanya apabila datang daripada parti yang sering mendakwa meletakkan Islam sebagai teras perjuangan.
PAS wajar lebih berwaspada dalam menyantuni hubungan antarabangsa, apatah lagi apabila ia melibatkan usaha damai. Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk memperlekeh inisiatif yang menjurus kepada pendamaian.
Malah, rakan sekutu Fadhli dalam Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal—yang tidak datang daripada parti berteraskan Islam—lebih menampilkan kejelasan akhlak politik apabila menyatakan pengkitirafan terhadap langkah perdana menteri.
PAS masih memiliki ruang untuk memperbetul haluan ini. Jika benar mereka berhasrat membawa wajah Islam ke pentas siasah, maka wajar ditampilkan ciri-ciri keislaman yang sejati. Islam menjunjung nilai perdamaian dan mengangkat diplomasi sebagai jalan yang mulia. Namun, persoalannya, mengapa prinsip ini tidak diterjemahkan oleh PAS?
ASHRAF HADI ialah exco Pemuda PKR (AMK).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.