Parti Pejuang mengimbas kembali protes yang berlaku lebih sedekad lalu, ketika para penunjuk perasaan menyuapkan kangkung ke mulut patung menyerupai bekas Perdana Menteri Najib Razak – satu tindakan yang ketika itu direstui oleh Anwar Ibrahim.
Protes itu merujuk kepada flashmob pada 2014 yang diketuai Adun PKR yang mewakili Machang Bubuk, Lee Khai Loon, yang membangkitkan kemarahan pemimpin Umno ketika itu. Kangkung itu sebagai simbolik bantahan rakyat terhadap kenaikan kos sara hidup – isu sama yang menjadi tema utama dalam himpunan “Turun Anwar” Sabtu lalu.
Najib ketika itu mengundang kritikan apabila dia mengeluh bahawa kerajaan persekutuan tidak pernah dipuji apabila harga barangan turun, sambil memberi contoh sayur kangkung.

Dalam nada sama, Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid, mempersoalkan tindakan kerajaan hari ini.
“Adakah PMX (Anwar) atau kerajaan langsung tidak boleh dikritik? Adakah sebaik sahaja PMX jadi perdana menteri maka segala hak kritik dalam sebuah demokrasi terhapus?
“Adakah hanya boleh kritik perdana menteri sebelum-sebelum ini tapi PMX ada immuniti daripada kritikan?” soalnya dalam hantaran di Facebook.
Rafique juga merujuk tindakan Anwar, sebelum ini yang ditdakwa membakar buku tulisan perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman, ketika dia menjadi aktivis pelajar pada 1970-an.
“Adakah boleh pijak poster Dr Mahathir Mohamed, bakar buku Tunku, suap kangkung dalam mulut Najib tapi kalau PMX maka itu haram?” soalnya.
Dia turut mengkritik tindakan polis menahan individu yang merotan patung Anwar semasa perhimpunan minggu lalu, dengan menyifatkannya sebagai pembaziran wang rakyat.

“Tiada halangan untuk pihak PDRM siasat. Teruskan. Tapi tiada keperluan hantar hingga berbelas anggota dan pegawai mengepung rumah peserta semata-mata hendak tangkap.
“Demonstran yang hadir rakyat Malaysia. Mereka bukan pengganas atau penjenayah tegar.
“Tiada keperluan tangkap. Bazir masa dan kos awam. Bazir masa kehakiman perlu paksa majistret dengar (permohonan) reman,” katanya lagi.
Rafique turut mengecam penggunaan Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 – undang-undang yang pernah dijanjikan oleh Anwar dan Pakatan Harapan untuk dimansuhkan.

“Setakat ini sudah empat tangkapan. Dikhabarkan akan ada lagi kali yang bakal dikutip penguatkuasa.
“Paling hipokrit adalah penggunaan Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Kesemua yang ditahan atau ditangkap disiasat bawah peruntukan yang sama.
“Bukankah janji mereka dulu undang-undang drakonian ini akan dimansuh?” tambahnya.
Rafique berkata polis sepatutnya hanya membuat janji temu dengan mereka yang disiasat untuk merakam keterangan, kemudian menyerahkan kertas siasatan kepada peguam negara.
“Kalau ada elemen kesalahan biar pertuduhan berjalan. Serta biar rakyat pertahan kes. Itu kedaulatan undang-undang dan rule of law.
“Tujuan tangkapan-tangkapan ini tidak lain tidak bukan intimidasi politik.Untuk takutkan rakyat supaya tiada Turun Anwar 2.0.

“Pada rakyat ingatlah pesanan: suara rakyat suara keramat. Tekanan yang diberikan bukti kerajaan takut dengan rakyat,” katanya.
Kepada Anwar dan kerajaan Madani, kata Rafique, hipokrasi semakin jelas.
“Kayu bengkok, masakan lurus bayangnya!” katanya mengakhiri hantarannya itu.