Pemuda PKR (AMK) menyelar Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari kerana enggan memohon maaf kerana menyiarkan kartun menyindir peranan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam rundingan gencatan senjata Thailand-Kemboja.
Menyifatkan ego dan sombong, Naib Ketua AMK Nabil Halimi berkata sikap Fadhli menunjukkan dia sebagai “pengkhianat negara” yang harus segera diambil tindakan oleh polis.
Katanya, tindakan itu bukan sahaja menghina Anwar namun menghina Malaysia dan kakitangan Wisma Putra yang bertungkus lumus menjayakan misi damai itu.
“Usaha Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menjadi fasilitator rundingan damai ini adalah mewakili Malaysia selaku pengerusi Asean bagi tahun ini.
“Apa-apa perbuatan menghina usaha negara kita, jelas adalah satu bentuk pengkhianatan untuk memalukan Malaysia di mata dunia,” kata Nabil.

Fadhli semalam berkata dia tidak berhasrat memohon maaf dan menyerahkan kepada polis untuk menyiasatnya.
Dalam hantaran kontroversi itu, Fadhli memuat naik kartun seekor monyet menjadi hakim kepada dua ekor kambing yang berebut pisang, ketika mengulas konflik di Indo-China itu.
Dalam kenyaaan hari ini, Nabil menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik bersatu mendesak Fadhli memohon maaf, termasuk kepada kerajaan Kemboja dan Thailand.
“Rakyat Malaysia tidak boleh bertolak ansur dengan pengkhianat-pengkhianat yang ingin menjatuhkan maruah negara di persada antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Nabil bagaimanapun mengucapkan terima kasih pimpinan pembangkang lain seperti Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang memberikan sokongan terhadap peranan Anwar dalam rundingan itu.