Kehadiran Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio, dalam mesyuarat Asean di Kuala Lumpur bukan sekadar lawatan diplomatik rutin—ia isyarat yang jelas. Washington tidak lagi akan bertolak ansur dengan sikap menumpang, berkecuali dan enggan membuat pilihan yang terlalu lama mencengkam rantau ini. AS kekal sebagai kuasa utama di rantau Indo-Pasifik dalam hampir semua penimbang kuasa, dan Asean kini berdepan dengan cabaran getir untuk mempertahankan kuasa konvensional sebagai pihak berkecuali.
Lawatan Rubio mencerminkan misi jelas: menghidupkan semula power presence secara strategik di rantau ini dan memulihkan keseimbangan kuasa yang semakin terhakis akibat pengaruh Beijing. Ia hadir tepat pada waktunya ketika sebahagian besar negara Asean dilihat semakin condong kepada China untuk pelaburan, suntikan modal dan keuntungan jangka pendek, sambil memanfaatkan payung keselamatan Washington.
AS memerlukan sokongan rantau ini dalam memperkukuh keselamatan sumber kritikal, dan ia sedar bahawa ia masih memegang bargaining card sebagai kuasa pertahanan utama yang diperlukan oleh kebanyakan negara rantau ini bagi memenuhi tuntutan keselamatan mereka. Washington masih boleh memainkan strategi balas berasaskan quid pro quo yang melangkaui soal tarif semata-mata, dengan menggunakan pengaruh kuasa ketenteraan, tetapi ini belum dilaksanakan sepenuhnya kerana menyedari Beijing boleh mengambil kesempatan.
Kehadiran Rubio dilihat sebagai langkah bijak dalam mengekalkan keseimbangan bagi memaksa negara-negara serantau meningkatkan usaha masing-masing untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan, mengehadkan kebergantungan ekonomi terhadap China dan Brics, sambil memberi ruang dan masa untuk mereka menunjukkan keikhlasan melalui rundingan tarif serta peringatan bahawa kelebihan tarif yang dinikmati Washington sahaja boleh membawa kesan besar kepada ekonomi rantau ini — apatah lagi kuasa dan jaminan pertahanan AS yang boleh digunakan sebagai negotiating leverage.
Pendekatan baru Washington
Secara asasnya, pendekatan baharu Washington di rantau ini juga untuk menyekat ruang lebih lanjut kepada Beijing untuk menguasai rantau ini, dan menghantar mesej bahawa AS telah kembali walaupun dengan tumpuan konflik di Timur Tengah dan Eropah, sambil memastikan Asean tidak terus beralih ke orbit China dan terjerumus dalam naratif anti-AS yang dipelopori Beijing, yang dilihat sedang membina kerangka serantau baharu yang menentang tarif dan strategi memikat sekutu tradisional Barat.
AS kini tidak lagi melihat Asean sebagai zon berkecuali yang pasif. Bawah pentadbiran Trump, dasar tarif dan penstrukturan semula hubungan perdagangan hanyalah permulaan kepada anjakan dasar luar AS yang lebih tegas dan adil baginya, dan tidak lagi terpalit dalam kancah sistemik yang tidak adil yang digunakan secara strategik oleh pelaku lain. Washington kini menuntut perkongsian beban yang lebih adil, terutamanya dalam komitmen sekutu lain dalam sektor pertahanan dan juga memperbaiki keselarian dan keseimbangan tarif dan perdagangan.
Rantau ini tidak boleh terus bergantung kepada sistem keselamatan AS sambil berselindung di sebalik retorik konsep berkecuali dan mempromosi kerjasama dengan blok seperti Brics yang jelas mempunyai agenda anti-Barat.
Rantau ini sudah lama mengekalkan model ‘hedging’—berbaik dengan semua, namun tidak berpihak. Realitinya, Asean telah terlalu lama bergantung kepada China dari segi perdagangan dan infrastruktur sambil terus memerlukan Amerika untuk jaminan keselamatan. Keadaan ini tidak mampan untuk masa depan Asean, lebih-lebih lagi dengan percaturan baharu geopolitik dan ketegangan serantau. Washington tidak lagi sudi memberi perlindungan tanpa pulangan.
Pentadbiran Trump jelas dalam mesejnya: dunia perlukan Amerika lebih daripada sebaliknya. Maka, bukan sahaja tarif akan diketatkan ke atas negara yang enggan bekerjasama secara adil, bahkan jaminan keselamatan juga tidak akan diberi tanpa komitmen. Negara-negara yang enggan meningkatkan komitmen perbelanjaan pertahanan atau menjalin kerjasama teknologi kritikal dan jaminan kepentingan sektor rantaian bekalan penting akan dilihat sebagai beban, bukan rakan strategik.
Beijing kini berdepan perangkap demografi dan ekonomi—populasinya terjurus ke arah kadar penuaan yang tinggi, ekonominya perlahan, dan kebergantungannya kepada eksport tidak dapat menyokong impian dominasi global. Asean pula masih terperangkap dalam perangkap pendapatan sederhana dan kekurangan inovasi struktur. Kedua-duanya akan terus bergantung kepada AS sebagai pasaran dan pemain teknologi utama pada tempoh terdekat.
Namun jika Asean terus kekal dengan retorik pendekatan konvensional dan jalinan dengan sistem alternatif termasuk Brics, ia bukan sahaja menggugat keyakinan pelabur Barat, malah berisiko dikenakan tarif tambahan dan sekatan strategik.
Negara seperti Vietnam dan Thailand telah pun menjadi destinasi utama bagi perpindahan rantaian bekalan dari China, termasuk dalam sektor semikonduktor dan teknologi tinggi. Malaysia juga mempunyai potensi besar, khususnya dalam mineral nadir bumi dan komponen EV. Namun potensi ini hanya akan diterjemahkan jika keyakinan strategik AS dipulihkan melalui dasar konsisten dan tidak bersifat oportunis.
Rubio membawa bersama harapan baharu untuk kerjasama strategik yang baharu dan lebih mendalam, dari keselamatan maritim, perdagangan digital hingga kerjasama pertahanan. Asean, dan khususnya Malaysia sebagai Pengerusi Asean 2025, perlu terus menyuntik nafas baharu dalam pendirian dan percaturan Asean.
Dominasi kuasa AS dalam semua ukuran masih tiada tandingan—daripada saiz ekonomi, keupayaan ketenteraan, keunggulan teknologi hingga kedudukan dolar sebagai mata wang rizab utama. Sementara China semakin terbeban dalam kemelut domestik, AS muncul sebagai satu-satunya kuasa dengan kapasiti demografi dan ekonomi untuk memimpin dunia pasca-2050.
Haluan baru bagi kesedaran Asean
Asean perlu mengambil kira realiti strategik baharu ini. Menyimpan ilusi bahawa China akan menggantikan peranan Amerika sebagai pelindung atau penaja pembangunan rantau ini masih menjadi norma kepercayaan rantau ini, tapi ini hanya akan mencetus ilusi dan kebergantungan mendalam yang mengundang risiko lebih tinggi, termasuk dalam konteks kemungkinan konflik ke atas Taiwan—di mana Laut China Selatan bakal menjadi medan pertempuran kedua dan Asean akan menjadi barisan depan dalam konflik tersebut, ketersediaan serantau masih lemah dan berpecah.
Jika konflik meletus, semua perjanjian damai dan kerjasama seperti SEANWFZ, Code of Conduct (CoC) atau Treaty of Amity and Cooperation (TAC) akan menjadi tidak relevan. Asean tidak mempunyai kapasiti first and second deterrence. Sistem pertahanan udara lemah, kemampuan siber dan ruang angkasa jauh ketinggalan, dan kebergantungan kepada kuasa luar mutlak, terus menjadi kelemahan asas yang masih tidak boleh ditangani. Tanpa Washington, rantau ini akan kekal terdedah dan terancam.
Asean mesti keluar dari ilusi berkecuali yang telah merugikannya selama ini, dan realiti baharu ini menyaksikan AS tidak menuntut kesetiaan membuta tuli. Apa yang dimahukan bawah Trump adalah kesungguhan untuk turut berkongsi beban dalam jurusan perdagangan dan aspek tanggungan keselamatan, dalam mempertahankan nilai bersama—kebebasan, keterbukaan dan aturan antarabangsa yang berlandaskan undang-undang.
Jika Asean gagal bertindak sekarang, peluang ini akan hilang. Dan apabila Amerika berpaling and tidak berfokus kepada rantau ini di bawah Trump sekiranya tindak balas serantau masih menidakkan peranan dan pengaruh Washington, tiada kuasa lain yang mampu mengisi kekosongan itu. Tidak Brics, tidak Rusia, tidak China. Masa depan rantau ini masih bergantung kepada jaringan sokongan dan payung keselamatan, pasaran, ekonomi dan teknologi Washington.
COLLINS CHONG YEW KEAT ialah penganalisis strategi, keselamatan dan hubungan antarabangsa dari Universiti Malaya.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.