Malaysia Oversight

Ucapan kebencian: Kerajaan akan perkasa peraturan sedia ada

By MkiniBM in July 30, 2025 – Reading time 2 minute
Ucapan kebencian: Kerajaan akan perkasa peraturan sedia ada


tidak mempunyai sebarang rancangan untuk melaksanakan undang-undang baru berhubung ucapan kebencian, tetapi akan terus menambah baik penguatkuasaan peraturan sedia ada, kata Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang.

Ahli Parlimen Ismi Mat Taib dan Ahli Parlimen Klang V Ganabatirau sebelum itu membangkitkan pertanyaan mengenai usaha dalam mengurangkan ucapan kebencian kaum dan agama dalam talian dan jika ada rancangan untuk undang-undang baru digubal mengenai perkara itu.

“Sesiapa sahaja yang sengaja melakukan sebarang perbuatan atau mencetuskan isu yang boleh menggugat keharmonian kaum dan agama boleh disiasat dan didakwa.

“Sudah ada akta dan undang-undang sedia ada yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Dalam Negeri dan Komunikasi – melalui polis dan SKMM.

“Undang-undang yang sedia ada untuk menangani perkara itu ialah Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Hasutan, dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

“Dan Kementerian Komunikasi – melalui SKMM – menangani hantaran dalam talian berkaitan isu kaum, agama dan raja,” kata Aaron.

Ahli Parlimen Kanowit itu juga menjelaskan bahawa sudah mempunyai peraturan sedia ada untuk memantau ucapan kebencian dalam talian, seperti sistem Rakan (Rangkaian Aduan Komuniti Awam Nasional), yang membolehkan netizen mengajukan aduan mereka kepada pihak berkuasa untuk tindakan segera diambil.

Kementerian juga telah menyediakan papan pemuka analitik perpaduan untuk mengenal pasti lokasi “hotspot” yang berisiko tinggi mengalami ketegangan kaum dan agama.

Jelasnya, maklumat yang dikumpul akan digunakan untuk merancang dan melaksanakan program intervensi yang ditujukan kepada komuniti berkaitan.

Satu jawatankuasa isu perpaduan negara, yang terdiri daripada 12 kementerian dan agensi, juga telah ditubuhkan untuk memastikan tindakan segera diambil terhadap isu-isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum.

“Walaupun Kementerian Perpaduan Negara tidak mempunyai kuasa langsung (ke atas siaran media sosial), namun kami memainkan peranan penting melalui pendekatan reformasi, campur tangan, pengantaraan, dan meningkatkan kesedaran dalam memerangi perbincangan isu sensitif berkaitan ucapan kebencian kaum dan agama,” kata Aaron.

Menteri itu menyebut contoh insiden yang berjaya ditangani melalui “pendekatan reformasi” ini termasuk kes penjual jagung di Sepang yang akhirnya memohon maaf secara terbuka selepas ditahan kerana papan tanda perkauman di gerainya.

Jelasnya, isu itu berjaya dikurangkan melalui intervensi daripada sukarelawan Rukun Tetangga tempatan.

Satu lagi contoh, kata menteri itu ialah apabila wakil Kementerian Perpaduan Negara di Johor campur tangan dalam kes seorang lelaki Cina ditampar kerana makan di khalayak ramai pada Ramadan di Johor Bahru pada Mac tahun ini.

Menurut Aaron, dari 2023 hingga Julai 2025, SKMM telah mengenal pasti dan melaporkan sekurang-kurangnya 11,967 siaran berkaitan 3R, dan 7,673 daripada siaran itu berjaya diturunkan oleh pentadbir media sosial.

Menteri perpaduan itu menjelaskan bahawa mereka akan terus bekerjasama rapat dengan SKMM untuk mengambil tindakan terhadap organisasi dan individu yang menyebarkan ucapan kebencian dalam talian.



Source link