Kerajaan tidak boleh berkata ia menghormati kebebasan berhimpun di saat ada peserta himpunan yang ditahan polis, menurut Amnesty International Malaysia.
Kenyataan itu susulan penahanan pemimpin Bersatu Badrul Hisham Shaharin, atau lebih dikenali dengan nama Chegubard, semalam, didakwa berhubung himpunan Turun Anwar pada hujung minggu lalu.
“Anda tidak boleh kata sokong kebebasan bersuara dan pada masa sama menahan peserta himpunan aman di bawah undang-undang era penjajahan, seperti Akta Hasutan.
“Ini mendedahkan hakikat yang membimbangkan, yang walaupun himpunan dijalankan secara aman, kerajaan akan tetap menggunakan undang-undang lapuk bagi menyekat penentangan dan menakutkan penunjuk perasaan,” kata pegawai kempen kebebasan bersuara Amnesty International Malaysia, Kiran Kaur dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, peguam Badrul, Rafique Rashid Ali mengesahkan bekas pemimpin PKR itu ditahan di rumahnya kira-kira pada jam 2.30 petang.
Mengecam penahanan itu, Rafique berkata ia langkah yang tidak wajar memadangkan Badrul telah membuat temu janji untuk berjumpa pegawai penyiasat yang mengendalikan kesnya di Bukit Aman hari ini.
“Semalam kami menerima pengesahan laporan polis telah dibuat terhadap Chegubard berhubung Himpunan Turun Anwar pada Sabtu.
“Kertas siasatan dibuka atas dakwaan kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil (tingkah laku menghina), Seksyen 504 Kanun Keseksaan (menghina dengan sengaja dengan niat untuk mencetuskan pecah keamanan), Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, dan Seksyen 4(1) Akta Hasutan.
“Tangkapan dalam kes ini tidak diperlukan kerana Chegubard telah memberi akujanji untuk menghadirkan diri di Bukit Aman,” kata Rafique.

Kiran mengingatkan pihak berkuasa berkenaan komitmen Perdana Menteri Anwar Ibrahim terhadap kebebasan bersuara, dan berkata kritikan dan perbezaan pandangan tidak harus dilihat sebagai permusuhan, tetapi kelaziman di sebuah negara yang membangun dan matang.
Memuji usaha polis dalam memudahkan perjalanan himpunan, Kiran berkata ia hilang makna sebaik saja polis menahan penunjuk perasaan kemudiannya.
“Percanggahan seumpama itu bukan saja menghakis kepercayaan awam tetapi turut mencabuli hak kebebasan bersuara yang dijamin dalam Perlembagaan,” katanya lagi.
Dia menggesa kerajaan agar komited untuk melakukan reformasi menyeluruh terhadap semua undang-undang yang menjadikan ekspresi secara aman sebagai jenayah serta memastikan agensi penguatkuasaan menghormati dan melindungi hak rakyat.
“Reformasi perlu melangkaui pindaan kecil undang-undang – ia perlu dirasai di lapangan.
“Rakyat perlu diberi jaminan yang mereka selamat dan dilindungi apabila menyertai protes aman.
“Jika tidak, kita akan menggalakkan keadaan ketakutan berbanding kebebasan,” katanya lagi.
Semalam, Ketua Polis Negara Khalid Ismail berkata pihaknya sedang menyiasat satu insiden semasa perhimpunan “Turun Anwar”, di mana beberapa individu dilihat memukul patung menyerupai Anwar dengan rotan.
Dia berkata dua lelaki, berusia 21 dan 47 tahun, telah ditahan berkaitan insiden itu.
Walaupun Khalid tidak menyebut nama mereka, Rafique mengesahkan Badrul telah ditahan berhubung insiden itu.