Isu buli siber dalam industri hiburan bukan lagi perkara baharu, malah semakin ketara apabila media sosial dijadikan medan meluahkan rasa tidak puas hati.
Dalam suasana di mana satu ciapan mampu mencetuskan gelombang kecaman, tidak semua selebriti memilih jalan yang sama.
Bagi penyanyi Haqiem Rusli, konflik dan salah faham tidak seharusnya dipamerkan untuk tontonan umum, apatah lagi jika ia hanya mengundang lebih banyak kebencian dan perpecahan.
Berbekalkan pengalaman peribadi yang pernah berdepan kecaman dan tekanan suatu ketika dahulu, Haqiem memilih pendekatan berbeza dalam menangani konflik, khususnya melibatkan rakan industri.
Baginya, berjumpa dan berbincang secara bersemuka dengan adab adalah jalan terbaik, berbanding bersikap bermuka-muka atau menyindir di media sosial.
“Kalau ada artis buat salah atau buat hal, pada saya lebih baik jumpa depan-depan. Bercakap elok-elok, jaga adab. Itu jauh lebih baik daripada bermuka-muka atau serang di media sosial.
“Pendedahan sesuatu isu secara terbuka bukan sahaja membuka ruang kepada netizen untuk menghakimi tanpa mengetahui keseluruhan cerita, malah boleh mencetuskan gelombang kecaman yang sukar dikawal.
“Satu ciapan atau satu hantaran boleh membuka ruang untuk semua orang tahu. Bila dah libatkan netizen, perkara itu akan jadi besar. Kadang-kadang sampai orang yang tak ada kena-mengena pun masuk campur,” ujarnya.
Tambah penyanyi berusia 27 tahun itu, pengalaman lalu banyak mengajarnya bahawa kecaman terbuka sering meninggalkan kesan mendalam terhadap emosi dan mental seseorang, walaupun isu tersebut akhirnya dilupakan orang ramai.
“Dulu saya pernah kena. Sekejap-sekejap nama naik di Twitter, orang kecam, orang ‘cancel’. Tapi akhirnya orang lupa. Yang tinggal cuma kesan pada diri kita sendiri.
“Kadang-kadang yang membuli ini bukan netizen, tapi orang yang kita kenal. Depan-depan tidak berani cakap, tetapi di belakang sibuk tweet atau ‘post story,” katanya.
Justeru, Haqiem menegaskan pendiriannya untuk sentiasa memilih jalan beradab walaupun sedang berdepan rasa marah atau kecewa.
“Kita boleh jujur, tapi kena jaga cara. Kalau kita marah sekalipun, jaga adab. Ayat jujur kalau salah cara, bila masuk telinga orang lain, boleh jadi benda lain,” katanya.
Penyanyi itu turut berkongsi bahawa dirinya pernah berhadapan dengan rakan industri yang mengecilkan atau menyakitkan hatinya. Namun, dia memilih untuk menyelesaikan perkara tersebut secara pertemuan tertutup dan perbincangan baik.
“Saya jenis kalau ada masalah, saya jumpa orang itu. Saya cakap secara baik. Saya beritahu apa yang dia buat itu kecilkan hati saya. Bagi saya itu lebih ‘gentle’ dan lebih jujur,” katanya.
Dalam masa yang sama, Haqiem berkata, penggunaan media sosial sebagai medan ‘mengajar’ atau menghukum seseorang bukanlah penyelesaian, malah berpotensi menimbulkan dosa dan kesan jangka panjang.
“Bila kita panggil orang dengan kata-kata kasar, itu dah melibatkan hati dan perasaan. Di situ dosa boleh berlaku. Jadi lebih baik kita selesaikan secara tertutup,” jelasnya.






