DHAKA: Parti Nationalis Bangladesh (BNP) dijangka meraih kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum ke-13, apabila jutaan pengundi menggunakan hak mengundi yang sekian lama dinafikan dalam suasana meriah dan aman semalam.
Pada pukul 5.30 pagi waktu tempatan hari ini, stesen penyiaran meramalkan bahawa BNP telah melepasi jauh ambang 150 kerusi untuk memperoleh majoriti jelas di parlimen.
Parti yang hampir dua dekad berada di luar tampuk pemerintahan itu yakin memperoleh lebih dua pertiga majoriti dengan apa yang disifatkannya sebagai mandat rakyat yang luar biasa.
“Berdasarkan kiraan undi yang diterima setakat ini dan maklumat terperinci mengikut kerusi, kami sangat yakin dengan kemenangan ini,” kata jurucakap Jawatankuasa Pemandu Pilihan Raya Pusat BNP, Mahdi Amin kepada wartawan pada pukul 11.45 malam waktu tempatan semalam.
Menurut kiraan parti yang disiarkan di laman Facebook rasmi Parti Jamaat-e-Islami, ia yang pernah menjadi rakan rapat BNP bersama sekutunya mencatat kemajuan ketara dengan mendakwa menang di 60 kerusi
Parti Rakyat Kebangsaan (NCP), yang lahir daripada kebangkitan pelajar dan merupakan rakan dalam pakatan pimpinan Jamaat, memenangi enam kawasan, kata Ketua Jawatankuasa Pemandu Pilihan Raya parti itu, Asif Mahmud Shojib Bhuyain.
Keputusan tidak rasmi itu berdasarkan kiraan parti politik dan data daripada pegawai pengurus pilihan raya. Tidak jelas sama ada undi pos diambil kira.
Suruhanjaya Pilihan Raya Bangladesh masih belum mengumumkan keputusan rasmi ketika pengiraan undi sedang berjalan dan hanya mengisytiharkan keputusan separa tidak rasmi bagi beberapa kerusi.
Suruhanjaya itu juga belum mengumumkan peratusan keluar mengundi keseluruhan setakat pukul 3.50 pagi hari ini.
Pemimpin tertinggi BNP termasuk Pengerusinya, Tarique Rahman dan Setiausaha Agung, Mirza Fakhrul Islam Alamgir memenangi kerusi masing-masing berdasarkan keputusan tidak rasmi.
Menurut sumber parti dan Suruhanjaya Pilihan Raya, Tarique, yang pulang ke tanah air selepas 17 tahun dalam buangan di United Kingdom (UK), dipilih pengundi di Dhaka-17 dan Bogura-6.
Pilihan raya parlimen itu diadakan 18 bulan selepas kebangkitan pelajar yang belum pernah berlaku sebelum ini sehingga menjatuhkan kerajaan Liga Awami. Parti itu dilarang bertanding susulan peranannya dalam tindakan keras berdarah yang mengorbankan sekurang-kurangnya 1,400 nyawa.
Pengundian semalam menyaksikan suasana jauh lebih tenang berbanding pilihan raya lalu yang dicemari keganasan dan dakwaan penyelewengan. Laporan keganasan adalah terpencil dan dakwaan pengundian palsu dilihat minimum berbanding pengalaman lalu.
Kehadiran pengundi wanita amat memberangsangkan. Ramai pengundi mengundi buat kali pertama dengan bangga menunjukkan ibu jari yang dicelup dakwat sebagai tanda penyertaan mereka dalam menentukan masa depan negara.
Selain memilih 299 daripada 300 kerusi parlimen, pengundi turut menyertai satu referendum mengenai reformasi perlembagaan.
Referendum itu diadakan kali pertama diadakan semasa pilihan raya umum dalam sejarah negara itu.
Setakat kiraan terakhir, sebanyak 215,579 undi bersetuju manakala 80,203 lagi undi yang membantah reformasi perlembagaan diadakan.
Ketua Penasihat negara itu, Muhammad Yunus menyifatkan pilihan raya dan referendum itu sebagai detik kegembiraan dan pembaharuan nasional.
“Ini hari yang penuh kegembiraan. Hari ini adalah hari lahir Bangladesh baharu,” katanya selepas mengundi di Gulshan Model High School and College semalam.
Yunus telah memimpin negara Asia Selatan yang mempunyai 170 juta penduduk itu sejak pemerintahan 15 tahun Sheikh Hasina sebagai perdana menteri ketika itu yang berakhir dengan penyingkirannya pada Ogos 2024.
Menurutnya, beliau mewarisi sistem pentadbiran awam dan kehakiman yang rosak sepenuhnya dan memerlukan rombakan menyeluruh.
Yunus telah mengemukakan satu piagam reformasi bagi perubahan demokratik yang menurutnya bertujuan menghalang kembalinya pemerintahan autokratik satu parti.
Cadangan itu merangkumi had penggal bagi perdana menteri, penubuhan dewan tertinggi Parlimen, pengukuhan kuasa presiden serta kebebasan badan kehakiman yang lebih besar. – AGENSI/AFP






