Malaysia Oversight

PRN Johor, Melaka: BN elak pertembungan tiga penjuru

By MkiniBM in February 11, 2026 – Reading time 2 minute
PRN Johor, Melaka: BN elak pertembungan tiga penjuru


Barisan Nasional () menyasarkan untuk mengekalkan kemenangan di Johor dan Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang menerusi strategi mengelakkan pertembungan tiga penjuru bersama rakan sekutu dalam Perpaduan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Datuk Seri Ahmad Maslan berkata keyakinan itu bersandarkan inisiatif negeri dan pusat serta pengukuhan dalaman parti.

“Jika Johor boleh menang 40 daripada 56 kerusi ketika itu (PRN Johor 2022), tidak ada sebab dengan segala inisiatif daripada negeri, kerajaan Pusat dan Kerajaan MADANI, digabung sekali dengan pengukuhan dalam di bawah Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“… saya yakin kita boleh menang 21 daripada 28 kerusi di Melaka dan 40 daripada 56 di Johor,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis makan malam sempena Program Pemerkasaan Belia MADANI melalui Teknologi AI dan Revolusi Industri 4.0 anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) di Kuala Lumpur malam tadi.

Timbalan Menteri Kerja Raya itu berkata jentera juga perlu terus berusaha tanpa henti sehingga hari pengundian kelak.

Ahmad berkata beliau menyokong hasrat Ahmad Zahid yang terbuka menerima penyatuan semula demi kepentingan orang Melayu berteraskan konsep ‘Rumah Bangsa’.

Beliau menyifatkan langkah presiden parti itu pada Perhimpunan Agung baru-baru ini sebagai berjiwa besar, dengan Ahmad Zahid mengungkapkan tiga frasa politik yang sebelum itu tidak pernah didengari dalam kalangan ahli politik.

“Pertama beliau menyebut tentang Rumah Bangsa, keduanya tentang Musyawarah Nasional dan ketiga tentang Kolaborasi Agung. Semua itu membawa kepada penyatuan parti Melayu, penyatuan umat Melayu dan penyatuan pemimpin Melayu.

“Jika Presiden ada menyebut bahawa beliau sedia menerima mereka ‘dari sana’, maka saya menyokonglah apa hasrat beliau itu,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad mengingatkan ahli UMNO supaya tidak terlalu selesa dengan pergolakan yang berlaku dalam parti lawan, sebaliknya perlu fokus memperkukuh parti sendiri.

Kemenangan yang diraih UMNO, katanya seharusnya datang daripada kekuatan parti itu sendiri dan bukan disebabkan kelemahan pihak lain.

Bernama



Source link