Luce Ialah EV Pertama Daripada Ferrari Dengan Sentuhan Jony Ive dan Samsung
Effi Saharudin
Ferrari sudah beberapa tahun mengacah akan melancarkan kenderaan elektrik (EV) pertama mereka dengan ia akan menggabungkan DNA Enzo Ferrari dengan motor elektrik moden. Ada yang mengatakan ia seperti mencampurkan air dengan minyak. Tetapi awal pagi tadi Ferrari Luce telah diumumkan dengan ia adalah EV pertama dihasilkan oleh pengeluar dari Modena ini dengan ia menerima DNA dari Cupertino California dan Seoul, Korea Selatan.

Bahagian dalaman kabin, stereng, skrin dan paparan maklumat EV ini menerima sentuhan LoveFrom – syarikat rekaan milik Jony Ive yang bertanggungjawab menghasilkan rekaan ikonik iPhone, iPod, iMac dan pada suatu ketika Apple Car yang telah dibatalkan.
Penglibatan Jony Ive dengan Luce tidak mengejutkan kerana kerjasama diumumkan pada tahun 2021. Turut terlibat menghasilkan rekaan dalaman Luce ialah Marc Newson yang sudah beberapa kali bekerjasama dengan Ive serta adalah pengasas bersama LoveFrom.

Rekabentuk dalaman kokpit EV ini mengekalkan pelbagai butang kawalan fizikal tetapi masih digabungkan dengan panel OLED keluaran Samsung pada kluster maklumat pemanduan dan konsol kawalan tengah. Skrin tengah boleh dipusinkan supaya menghadap pemandu memudahkan ia diakses. Lubang pendingin udara menggunakan butang berputar untuk menutup laluan udara. Stereng kenderaan masih mengekalkan elemen klasik Ferrari dengan pelbagai tombol mod pemanduan disertakan sekali.

Satu elemen unik ialah tombol gear kecil pada konsol tengah menggunakan rekaan gated seperti gear kenderaan manual. Ia berubah warn mengikut gear yang dipilih dengan skrin e-ink bulat digunakan pada bahagian atas. Ini mungkin kali pertama e-ink digunakan pada sebuah EV moden. Tidak berakhir di situ, setiap skrin di dalam Luce dilindungi oleh panel kaca Gorilla Glass bagi mengelakkan calar serta lebih tahan lasak.

Dengan rekaan dalaman telah diperlihatkan, rekaan luaran sebenar Ferrari Luce akan diperlihatkan pula pada bulan Mei depan di Itali. Ferrari lewat memasuki era EV sepenuhnya dengan hanya berjinak dengan kereta hibrid. Adalah ia percaturan yang betul pada saat Porsche, Mercedes, BMW dan Ford kesemuanya gagal mendapat perhatian peminat kereta prestasi tinggi yang masih mencintai kenderaan ICE berbanding EV.






