Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) sekali lagi menunjukkan komitmennya dalam melindungi industri pertanian negara apabila berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk 200 kilogram lengkuas tanpa permit sah melalui Bukit Kayu Hitam, Kedah semalam.
Rampasan bernilai RM3,200 itu dibuat sekitar jam 9.40 malam hasil pemeriksaan ke atas sebuah kontena yang membawa lebih 44,000 kilogram hasil pertanian.
“Hasil pemeriksaan mendapati sejumlah 200 kg lengkuas dari berat muatan keseluruhan hasil pertanian berjumlah lebih 44,000 kg tidak mempunyai Perakuan Pemasaran 3P daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
“Lengkuas itu seterusnya telah disita untuk tindakan lanjut,” kata AKPS pada satu kenyataan hari ini.
Menurut agensi itu lagi, tindakan mengimport produk pertanian tanpa dokumen sah merupakan satu kesalahan serius.
“Perbuatan mengimport apa-apa keluaran pertanian tanpa perakuan atau permit yang sah adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].”
AKPS menegaskan usaha penguatkuasaan ini bukan sahaja bertujuan melindungi hasil tempatan, malah demi menjamin keselamatan makanan negara.
“AKPS sentiasa komited dalam memperketatkan kawalan di semua pintu masuk sempadan negara bagi memastikan kawalan biosekuriti terjamin dan membanteras sebarang aktiviti penyeludupan yang boleh mengancam industri pertanian serta keselamatan makanan negara,” kata agensi itu.