Selepas dua puluh lima tahun, landskap politik negara kini bertukar sepenuhnya.
Dr Mahathir Mohamad kini bersiap sedia untuk turun berhimpun menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, mengulangi tuduhan sama yang pernah dilemparkan Anwar kepadanya pada 1998.
Mahathir, malah selangkah ke hadapan lagi dengan menyalahkan Anwar terhadap kes bunuh diri dan pembunuhan.
Dalam video yang disiarkan di media sosial petang ini, Mahathir menyeru “rakyat Malaysia berbilang kaum yang cinta negara” untuk hadir beramai-ramai dalam perhimpunan “Turun Anwar” di Kuala Lumpur, esok.
“Himpunan aman ini satu proses demokrasi yang perlu disokong oleh semua rakyat Malaysia yang terkesan dengan ketidakcekapan kerajaan hari ini.
“Begitu juga yang bosan dengan pembohongan yang tak sudah-sudah setiap kali Anwar buka mulut.
“Makin hari rakyat tambah derita. Kehidupan harian makin sukar. Ramai yang terdesak, tertekan sehingga sanggup melakukan perkara yang tidak terfikir termasuk membunuh diri, bunuh mak bapa, bunuh anak dan bermacam lagi,” katanya.
Mahathir menegaskan Anwar tidak menjadi perdana menteri dengan memenangi pilihan raya umum, sebaliknya melalui penjajaran semula kuasa politik berikutan pilihan raya umum pada 2022.
“Ini bermakna dia bukan pilihan rakyat. Kerana itu perhimpunan ini berhak desak rakyat turun.
“Bukan sahaja dia bukan pilihan rakyat, malah tanpa malu dia salah guna kedudukannya,” dakwanya.
Mahathir, yang dijadual menyampaikan ucapan pada perhimpunan itu, turut mengkritik pemberian wang tunai RM100 yang diumum Anwar, menyifatkannya sebagai muslihat untuk mengelirukan orang ramai selepas melaksanakan cukai yang membebankan.
“Ini seperti tangan kiri mengambil, dan tangan kanan memberi. Malangnya apa yang diambil lebih daripada yang diberi, kos sara hidup kekal tinggi,” katanya.
Mengulangi tuduhan sama yang pernah dilemparkan Anwar terhadapnya, Mahathir mendakwa bahawa perdana menteri kini bersalah kerana melanggar perlembagaan, menindas mereka yang mendedahkan kesalahannya, dan melemahkan institusi utama untuk kepentingan peribadi.
“Turun (berundur) Anwar, kamu telah khianati negara ini,” katanya.
Mahathir, yang berusia 100 tahun pada 10 Julai, memainkan peranan penting dalam menggulingkan dua bekas penggantinya – Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak.
Anwar dinamakan sebagai penggantinya sebanyak dua kali, kali kedua selepas Mahathir kembali ke pentas politik sebagai perdana menteri pada usia 92 tahun, yang ketika itu secara ironisnya mengetuai gabungan Pakatan Harapan (PH) ketika Anwar masih di dalam penjara.