Realme ialah sebuah jenama peranti yang cukup popular untuk pasaran tempatan, dimana ia tampil dengan pelbagai jenis model yang bersesuaian dengan kehendak pelbagai jenis pengguna. Terkini, ia telah dikatakan bahawa peranti kelas mercu akan datang jenama tersebut mungkin akan diperkenalkan pada bulan Oktober ini.
Realme GT 8 dan Realme GT 8 Pro dijangka akan hadir dengan spesifikasi peranti kelas mercu, tetapi dengan sejumlah perbezaan yang dikatakan agak ketara. Digital Chat Station di Weibo mengatakan bahawa peranti tersebut akan diperkenalkan tidak lama selepas pengumuman berkenaan cip pemprosesan peranti kelas mercu terbaru Qualcomm, iaitu Qualcomm Snapdragon 8 Elite 2.

Realme GT 8 Pro dikatakan akan dikuasakan oleh cip pemprosesan tersebut, dan juga akan tampil dengan sistem kamera periskop 200MP, berkemungkinan juga dengan paparan skrin OLED dan bateri sebesar 7000mAH.
Untuk Realme GT 8 pula, Digital Chat Station mengatakan bahawa peranti ini akan dikuasakan oleh cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Elite ataupun MediaTek Dimensity 9000, cip pemprosesan kelas mercu generasi ini. Mengikut apa yang diketahui mengenai Snapdragon 8 Elite 2 setakat ini, perbezaan terbesar mungkin diperlihatkan pada bahagian grafik.
Seperti yang dikatakan, kedua-dua peranti ini dijangka akan dilancarkan pada masa yang sama pada bulan Oktober ini. Setakat ini ia tidak diketahui lagi jika Realme akan membuat kolaborasi dengan jenama kereta lumba untuk model ini, seperti apa yang dibuat dengan Aston Martin untuk edisi khas Realme GT 7 Dream Edition.