Pengendali laman Facebook KTM Berhad berkata tiada pemakluman rasmi daripada pihak pengurusan setakat ini berhubung penutupan sementara Stesen Bank Negara dan Stesen Kuala Lumpur.
Perkara itu dijelaskan dalam jawapan kepada soalan yang diajukan pengguna media sosial di ruangan komen akaun Facebook itu, yang dilampirkan ‘notis’ berhubung dakwaan berkenaan.
“Buat masa ini, tiada pemakluman rasmi daripada pihak pengurusan berkenaan perkara ini.
“Sebarang maklumat terkini akan dikongsikan dari semasa ke semasa melalui saluran media rasmi KTMB,” kata jawapan yang diberikan kepada soalan-soalan serupa mengenai perkara itu.
‘Notis’ yang tidak disahkan kesahihannya itu memaklumkan dua stesen KTM berkenaan akan ditutup esok dari jam 9 pagi hingga 5 petang.
Perkara ini mencuri tumpuan susulan Himpunan Turun Anwar dijadual diadakan di ibu kota pada hari sama, dan kedua-dua stesen itu merupakan stesen yang berhampiran dengan Dataran Merdeka, lokasi akhir untuk peserta himpunan itu berkumpul.
Peserta himpunan bagi menuntut peletakan jawatan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri pada Sabtu ini dijangka berkumpul di empat lokasi utama iaitu Sogo, Masjid Jamek, Masjid Negara dan Pasar Seni, sebelum bergerak ke Dataran Merdeka.
Penutupan stesen pengangkutan awam dan lencongan jalan pada hari demonstrasi pernah diambil oleh pihak berkuasa sebelum ini termasuk pada himpunan Bersih pada 2011 dan himpunan #TangkapAzamBaki pada 2022.
Pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang menerajui kempen dan mobilisasi Himpunan Turun Anwar menjangkakan kehadiran puluhan hingga ratusan ribu peserta esok.
Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin malah meramalkan sehingga sejuta orang akan hadir himpunan itu.
Polis Kuala Lumpur menjangkakan antara 10,000 hingga 15,000 peserta akan menyertai Himpunan Turun Anwar dan lebih 2,000 pegawai dan anggota dikerah untuk menjaga keselamatan serta membantu melancarkan perhimpunan.
Perdana menteri sebelum ini mengarahkan polis agar memberikan kerjasama penuh bagi memastikan himpunan itu berlangsung dengan aman, lancar dan tanpa sebarang intimidasi.
Malaysiakini sedang cuba menghubungi KTM Berhad bagi mendapatkan ulasan lanjut.