Malaysia Oversight

Sebak Muhammad minta maaf sebab rasa susahkan saya – Diana Danielle

By Utusan in February 6, 2026 – Reading time 3 minute
Sebak Muhammad minta maaf sebab rasa susahkan saya - Diana Danielle


KUALA LUMPUR: Pelakon, Diana Danielle, 34, tidak dapat menahan sebak ketika berkongsi detik paling menyentuh perasaan apabila anak sulungnya, Muhammad, 13, memohon maaf kepadanya susulan demam berpanjangan dialamin menyebabkannya lumpuh pada bahagian muka.

Diana atau Diana Danielle Danny Beeson berkata, hatinya luluh apabila Muhammad secara tiba-tiba meminta maaf kerana merasakan dirinya telah menyusahkan ibunya sepanjang tempoh itu.

“Dia minta maaf sebab menyusahkan ibu, sebab ibu kena jaga dia, tak boleh pergi kerja dan sebagainya. Waktu itu saya terus menangis.

“Saya beritahu dia, dia amanah saya dan walau apa pun, saya akan sentiasa ada dan jaga dia,” katanya.

Diana ditemui pada majlis pelancaran produk Numinara di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Diana berkata sepanjang tempoh anaknya sakit, dia berulang-alik ke Hospital Sungai Buloh bagi mendapatkan rawatan dan menyifatkan pengalaman itu sebagai detik paling sukar yang pernah dilaluinya sebagai seorang ibu.

“Saya rasa dunia saya gelap ketika itu. Sebagai ibu, kita yang rasa bersalah kerana tak mampu melindungi anak sepenuhnya,” katanya.

Dalam masa sama, Diana menzahirkan rasa syukur apabila keadaan Muhammad kini menunjukkan perkembangan positif hasil rawatan yang diterima.

“Alhamdulillah, Muhammad semakin okay. Dia sudah boleh menggerakkan bibir dan muka, malah sudah kembali ke sekolah walaupun masih mudah letih dan kerap tidur,” katanya.

Berkongsi lanjut, Diana berkata sakit yang dialami anaknya itu bermula dengan demam pada awal Januari lalu dan berlarutan hampir tiga minggu, berbeza dengan dirinya serta anak kedua, Aurora, yang hanya mengalami demam biasa.

Katanya, keadaan menjadi membimbangkan apabila Muhammad mengalami lumpuh pada kedua-dua belah wajah, menyebabkan pakar perubatan mengesyaki sama ada dia menghidap Guillain-Barre Syndrome (GBS) atau Bell’s Palsy.

“Pakar agak keliru kerana kebiasaannya Bell’s Palsy hanya melibatkan sebelah muka, tetapi Muhammad mengalami lumpuh di kedua-dua belah. Lima jabatan pakar terlibat untuk mengenal pasti punca sebenar, namun sehingga kini kami masih menunggu jawapan,” katanya.

Diana turut memaklumkan Muhammad menjalani pelbagai ujian termasuk pengambilan darah hampir lima kali selain rawatan steroid yang dilihat banyak membantu proses pemulihan.

Mengakui keletihan emosi dan fizikal sepanjang tempoh tersebut, Diana berkata dia berusaha menyembunyikan kesedihannya daripada pengetahuan anaknya.

“Kami berdua sangat penat. Hampir tiga minggu tak cukup tidur. Tapi saya tak tunjukkan kesedihan depan dia,” katanya.

Menurut Diana, pengalaman itu membuka matanya tentang kepentingan kepekaan ibu bapa terhadap kesihatan anak-anak selain mengakui kesilapannya memandang ringan demam pada peringkat awal.

“Saya dengar cakap anak apabila dia kata dia okay, jadi saya benarkan dia ke sekolah dan latihan bola sepak. Rupanya itu kesilapan saya. Saya memandang rendah virus sekarang,” katanya.

Diana turut merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah Muhammad yang disifatkan sangat prihatin dan memberikan kerjasama penuh sepanjang tempoh rawatan.

Terdahulu, Diana berkongsi di media sosial bahawa Muhammad mengalami masalah saraf pada wajah akibat demam, sekali gus menerima sokongan serta doa daripada ramai pihak. -UTUSAN





Source link