Malaysia Oversight

Ruhanie gesa Bersatu kekalkan hukuman pecat Wan Saiful

By MkiniBM in February 6, 2026 – Reading time 1 minute
malaysiakini logo


Lembaga Rayuan Bersatu digesa untuk mengekalkan hukuman pecat terhadap Wan Saiful Wan Jan “demi kelangsungan dan maruah perjuangan parti”.

Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Ruhanie Ahmad berkata, keputusan rayuan tersebut perlu disegerakan memandangkan badan berkenaan telah pun bersidang pada 4 Februari.

“Saya amat berbesar hati jika Lembaga Rayuan dapat memberikan keputusannya mengenai rayuan di atas, dalam tempoh yang agak segera.

“Saya juga lahirkan setinggi-tinggi harapan, agar Lembaga Rayuan dapat mengekalkan hukuman pecat ke atas Wan Saiful, seperti yang telah diputuskan oleh Lembaga Disiplin Bersatu sebelum ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

1779acffce446e36bf47cf25a09f10f1
Wan Saiful Wan Jan (tengah)

Wan Saiful dipecat daripada Bersatu pada 14 Oktober tahun lalu antaranya selepas mengumpul akuan berkanun (SD) ketua-ketua bahagian Bersatu untuk mengetepikan presiden Yassin.

Bekas ketua penerangan itu membuat rayuan terhadap hukuman itu.

Ruhanie yang juga pemangku ketua Bersatu Bahagian Bangi menegaskan bahawa setiap anggota perlu menjunjung keluhuran perlembagaan parti dan institusi presiden.

Menurut Ruhanie, tindakan tegas dan hukuman maksimum wajar dikenakan terhadap mana-mana individu yang melanggar peraturan serta adab susila parti.

“Ketegasan sebegini perlu kita sokong sepenuhnya, kerana inilah pendekatan terbaik untuk kita menjamin kekuatan parti kita, dan untuk kita hindarkan pelbagai ancaman yang boleh melumpuhkannya,” katanya lagi.



Source link