Malaysia Oversight

‘Belum terima surat saman, tapi dakwa ada mahu susahkan rakyat’

By MkiniBM in April 25, 2025 – Reading time 2 minute
'Belum terima surat saman, tapi dakwa ada mahu susahkan rakyat'


Pempengaruh Rafidah Ibrahim mendakwa bahawa kelantangannya bersuara dalam isu Kampung Baru sejak beberapa tahun lalu dibuat bagi mempertahankan haknya dan mereka yang senasib.

Bagaimanapun, katanya, adalah malang sekali apabila setiap kali dia atau mana-mana individu yang cuba bangkit mempertahankan hak masing-masing, mereka cuba didiamkan oleh pihak tertentu.

“Saya tegaskan apa yang saya pertahankan ini adalah kampung saya sendiri, iaitu saya sebagai penduduk dan saya sebagai rakyat.

“Apabila rakyat bersuara kita pasti akan disusahkan oleh pihak tertentu. Apa sahaja yang saya suarakan daripada tahun lepas, ini sudah pasti penduduk atau rakyat akan didiamkan, akan disenyapkan tanpa ada penjelasan, atau penyelesaian.

“Itu yang berlaku kepada saya dan saya juga yakin perkara yang sama turut berlaku kepada rakyat lain yang sedang bersuara,” katanya kepada pemberita di Petaling Jaya, hari ini.

Rafidah berkata, dan pimpinan hari sepatutnya berperanan membantu rakyat menyelesaikan masalah yang dihadapinya dan bukan mendiamkan atau menyusahkan mereka dengan tindakan undang-undang.

“Mereka yang berjawatan hari ini sepatutnya memainkan peranan penting di mana mereka sepatutnya mendengar suara rakyat, mencari penyelesaian, membantu kami menyelesaikan masalah yang sedang berlaku. Bukan diamkan kami, susahkan kami.

“Apatah lagi nak diamkan rakyat dengan menghantar saman dan sebagainya,” kata Rafidah tanpa merujuk atau menyebut mana-mana pihak.

Bagaimanapun, Rafidah dipercayai merujuk kepada tuntutan bekas Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad yang mahu pempengaruh itu memohon maaf atau berdepan tindakan saman.

Khalid pada 17 April lalu, berkata tindakan saman berkenaan terpaksa diambil kerana dakwaan yang dibuat Rafidah merupakan tuduhan liar dan tidak bertanggungjawab.

Dia merujuk dakwaan Rafidah sebelum ini bahawa dirinya mahu memansuhkan lembaga pentadbiran Malay Agricultural Settlement (MAS) serta tanah rizab Melayu bukan sahaja di Kampung Sungai Baru, tetapi di seluruh Kampung Baru.

Khalid kemudiannya menjelaskan isu tanah di Kampung Baru berbeza dengan tanah rizab Melayu yang lain dan Rafidah tidak faham apa yang diperkatakannya.

Pada sidang media hari ini, Rafidah mengesahkan dia masih belum menerima sebarang surat saman.

Sebelum ini, pempengaruh itu dilaporkan membuat dakwaan tersebut dalam video yang dimuat naik di TikTok.

Dalam video itu, dia dilihat menaiki kenderaan mengelilingi kawasan Kampung Sungai Baru dan menggunakan pembesar suara untuk menyuarakan bantahan dan menggesa penduduk untuk kekal menetap di situ.



Source link