Siri Huawei Pura80 kini rasmi di Malaysia. Ia hadir dalam dua pilihan model iaitu Pura80 Pro dan Pura80 Ultra. Kedua-duanya dilengkapi spesifikasi menarik dalam kelas tersendiri dan menyasarkan pengguna yang mementingkan prestasi kamera serta reka bentuk premium.

Huawei Pura80 Ultra adalah model paling premium dalam siri ini. Ia hadir dengan skrin LTPO OLED 6.8 inci yang menyokong kadar segar semula 120Hz dan resolusi 2848 × 1276 piksel. Ini dipadankan dengan cip Kirin 9020 bersama memori 16GB RAM dan storan dalaman 512GB. Ia turut menggunakan EMUI 15 yang menawarkan pelbagai ciri berasaskan AI seperti AI Remove, AI Gensture Control, AI Messaging, AI Translation, Interactive Theme (Emoji Crush), AI Noise Cancellation dan lain-lain.


Peranti dilengkapi sistem kamera belakang yang merangkumi lensa utama sudut lebar 50MP bersaiz 1″ dengan apertur boleh diubah f/1.6 hingga f/4.0 dengan OIS. Turut disertakan ialah lensa ultra lebar 40MP, telefoto periskop masing-masing dengan 50MP dan 12.5MP serta spektrum 1.5MP. Menariknya, kedua-dua lensa telefoto periskop berkongsi sensor yang sama dan menyokong zum optikal 3.7X serta 9.4X manakala zum digital sehingga 100X. Kamera hadapan pula menggunakan sensor 13MP untuk swafoto.


Peranti turut hadir dengan bateri 5170mAh yang menyokong pengecasan berwayar 100W dan nirwayar 80W. Selain itu, ia dilengkapi ciri tambahan seperti NFC, kalis air IP68/IP69, pengimbas cap jari sisi dan infra merah untuk kawalan peranti yang lebih lancar dalam penggunaan harian.


Huawei Pura80 Pro diperkenalkan dengan paparan LTPO OLED bersaiz 6.8-inci yang menyokong kadar segar semula 120Hz serta resolusi tinggi 2848 × 1276 piksel. Peranti ini dipadankan dengan cip Kirin 9020, memori 12GB RAM dan storan dalaman sehingga 512GB. Ia turut dilengkapi bateri berkapasiti 5170mAh dengan sokongan pengecasan pantas berwayar 100W dan nirwayar 80W.


Sistem kameranya terdiri dengan sensor utama 50MP bersaiz 1-inci dengan apertur boleh ubah antara f/1.4 hingga f/4.0 bersama OIS. Ia juga menawarkan lensa ultra-lebar 40MP (f/2.2) dan lensa telefoto makro 48MP sebagai pelengkap.



Bagi yang berminat, Pura80 Pro ditawarkan dengan harga bermula RM4599 manakala versi Ultra dijual pada harga RM6599. Pratempahan peranti kini dibuka dengan tawaran eksklusif berupa baucar serta hadiah percuma bernilai sehingga RM1428. Antara hadiah yang ditawarkan termasuk fon telinga Huawei FreeBuds Pro 4 dan langganan Huawei Care+ selama satu tahun.


Huawei turut menganjurkan jerayawara siri Pura80 di Centre Court, Pavilion Kuala Lumpur sehingga 3 Ogos 2025. Pengunjung bukan sahaja boleh mencuba sendiri kehebatan peranti ini malah berpeluang memenanginya hanya dengan mengambil gambar menarik dan berkongsi di media sosial.