Malaysia Oversight

Syarikat Farhash tak pernah mohon lesen teroka lombong

By MkiniBM in July 24, 2025 – Reading time 2 minute
malaysiakini logo


Pihak berkuasa tanah Sabah hari ini menafikan bahawa syarikat Bumi Suria Sdn Bhd — yang dikaitkan dengan bekas pembantu perdana menteri, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak — pernah memohon lesen meneroka mineral di negeri itu.

Penafian ini dibuat susulan laporan sebuah portal berita yang mendakwa Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, telah meluluskan lesen tersebut kepada syarikat berkenaan pada tahun lalu.

Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) negeri, Bernard Liew, berkata tiada sebarang lesen eksplorasi mineral boleh dipertimbangkan melainkan permohonan rasmi dikemukakan terlebih dahulu kepada pihaknya.

“Kami tidak pernah menerima sebarang permohonan PL (lesen penerokaan) daripada syarikat tersebut.

a45a0fb0bf18394545ee87c1c5c5d5c7

“Kalau tiada permohonan, bagaimana permohonan itu boleh diproses dan dibawa kepada YAB Ketua Menteri untuk dipertimbangkan?

“Di bawah Ordinan Perlombongan Sabah, permohonan untuk PL mesti dihantar kepada Pengarah JTU,” katanya kepada Malaysiakini melalui pesanan teks.

Bagaimanapun, Liew enggan mendedahkan jika syarikat Bayan Assets Sdn Bhd — sebuah syarikat perlombongan arang batu yang didakwa bekerjasama dengan Bumi Suria — pernah diberikan sebarang lesen penerokaan mineral di Sabah.

Menurutnya, semua permohonan kepada JTU, termasuk permohonan lesen eksplorasi atau pembelian tanah, adalah maklumat sulit dan berstatus keistimewaan.

“Maklumat mengenai Bumi Suria hanya diberikan kerana terdapat kebocoran, dan kami mahu memberikan gambaran sebenar mengenai situasi itu,” katanya lagi kepada Malaysiakini.

Terdahulu hari ini, portal MalaysiaNow menyiarkan laporan mengenai satu mesyuarat yang dikatakan berlangsung tahun lalu membabitkan Lembaga Pengarah Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM), syarikat milik negeri.

Menurut laporan itu, Hajiji — yang juga pengerusi lembaga pengarah syarikat tersebut — didakwa menyokong cadangan agar Bumi Suria diberikan lesen eksplorasi untuk kawasan seluas 70,000 hektar di kawasan Hutan Simpan Kalabakan dan Gunung Rara berhampiran sempadan Kalimantan.

Sebagai bukti, portal itu menyertakan pautan YouTube kepada satu klip audio yang kononnya merakam suara Hajiji menyebut tentang mesyuarat yang turut dihadiri wakil syarikat perlombongan arang batu, Bayan.

Ketua pegawai eksekutif SMM ketika ini, Natasha Sim mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa dia menghadiri mesyuarat itu sebagai “tetamu jemputan”, namun ketika ditanya mengenai klip audio berkenaan, dia berkata akan membuat semakan terlebih dahulu.

Sim kemudiannya meminta Malaysiakini mendapatkan pengesahan lanjut daripada setiausaha syarikat SMM, sambil memaklumkan kenyataan rasmi akan dikeluarkan.

“…sebahagian besar fakta dalam video itu salah. Itu bukan suara saya pun dalam rakaman, tetapi wajah dan nama saya telah dimasukkan dalam video itu,” katanya.

Malaysiakini telah menghubungi pejabat Hajiji dan Farhash untuk mendapatkan ulasan mereka.

Isu lesen penerokaan mineral Sabah kini menjadi subjek skandal rasuah berskala besar selepas beberapa , termasuk menteri negeri, dirakam dalam video membincangkan dakwaan pemberian rasuah bersama seorang ahli perniagaan, Albert Tei — yang kemudiannya tampil sebagai pendedah maklumat.

Dua ahli politik Sabah, Pembantu Menteri Negeri Andi Suryady Bandy dan Pengerusi Qhazanah Sabah, Yusof Yacob, telah didakwa atas kesalahan menerima rasuah sebanyak RM350,000 daripada Tei.

Walaupun membocorkan maklumat suapan, Albert Tei turut berdepan tuduhan memberi rasuah.

[Baca berita asal]



Source link