PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menetapkan tarikh 10 Februari ini bagi keputusan membebaskan atau mensabitkan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad atas sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian hotel di Sarawak.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Nordin Hassan membuat ketetapan demikian selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak.
Turut bersidang bersama ialah Hakim Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali.
Pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz.
Pendakwaan memfailkan notis rayuan itu pada 7 Mac 2024 manakala petisyen rayuan difailkan pada 26 Jun, tahun lalu.
Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi mendapati Mohd Isa 77, bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian MPHS di Kuching, Sarawak oleh Felda.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda di Persiaran KLCC, Kuala Lumpur antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015.
Hakim, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan jumlah keseluruhan hukuman penjara 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun, jika gagal membayar denda berkenaan.
Mohd. Isa didakwa pada 2018 dengan sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh FICSB pada harga RM160 juta.
Pertuduhan berkenaan dibuat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama. – UTUSAN

![[SALAM PERANTAUAN] Jauh di mata, dekat di hati](https://prwire.my/wp-content/uploads/2026/03/SALAM-PERANTAUAN-Jauh-di-mata-dekat-di-hati-300x200.jpeg)


