Kerajaan Mempertimbangkan Keperluan Pengesahan Identiti Bagi Pengiklan Di Media Sosial
July 24, 2025
•
Amy Maizuraa
Kerajaan sedang meneliti pelaksanaan peraturan baharu yang menetapkan keperluan pengesahan identiti bagi semua pengiklan di media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok. Ia bertujuan untuk mengukuhkan usaha membanteras penipuan dalam talian yang semakin membimbangkan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang merangka peraturan dan kod keselamatan dalam talian sebagai sebahagian daripada rangka kerja peraturan baharu yang sedang digubal. Dalam proses ini, SKMM turut meneliti pendekatan yang telah dilaksanakan di negara-negara seperti Singapura dan Taiwan sebagai rujukan.
Data terkini menunjukkan lebih 32,000 kandungan berkaitan penipuan telah dikeluarkan dari platform digital sepanjang Januari hingga April 2025, manakala jumlah kerugian yang direkodkan akibat penipuan dalam talian hampir mencecah RM800 juta. Sehingga 15 Julai 2025, lebih 46,000 kandungan berkaitan penipuan telah diturunkan.

Walaupun kandungan tersebut kebiasaannya dimuat naik oleh pengguna pihak ketiga, tiada platform media sosial yang pernah didakwa di mahkamah setakat ini. Namun begitu, kerajaan akan terus menggiatkan usaha dan kerjasama dengan penyedia platform bagi menangani isu penipuan secara menyeluruh termasuk iklan palsu, aktiviti perjudian serta penjualan produk yang tidak berdaftar.
Komen
Dengan menghantar komen, anda setuju dengan terma pengunaan AmanzMe.