Meta Mempertingkatkan Teknologi EMG Mengawal Peranti Dengan Hanya Berfikir
July 24, 2025
•
Effi Saharudin
Empat tahun lalu Meta memperlihatkan konsep gelang tangan yang boleh membaca isyarat otak yang kemudiannya digunakan untuk mengawal komputer. Teknologi electromyography (EMG) ini dibangunkan pada ketika itu untuk membolehkan pengguna realiti maya berinteraksi dengan dunia maya mereka tanpa alat kawalan fizikal biasa. Kita kini di tahun 2025 dan teknologi gelang tangan ini telah dipertingkat dengan beberapa ciri baharu.

Gelang tangan kini boleh membaca isyarat yang dihantar oleh otot untuk mengawal peranti. Antara demo yang diperlihatkan ialah mengesan pergerakan jari tanpa menggunakan kamera seperti diperlukan pada Meta Quest. Ia juga cukup jitu untuk mengesan pergerakan jari yang kemudiannya diubah menjadi tulisan tangan.

Kerana ia membaca isyarat otak dan otot, ia boleh mengawal tahap kekuatan genggaman objek di dalam dunia maya misalnya. Sebelum ini teknologi EMG membolehkan permainan seakan Subway Surfer dikawal dengan jari tanpa menyentuh skrin.
Gelang tangan Meta sudahpun digunakan untuk mengawal cermin mata realiti bercampur (MR) Meta Orion. Meta Orion dijangka akan dilancarkan tahun depan sebagai pengganti Ray-Ban Meta. Mungkin dalam masa terdekat impian Zuckerberg menggantikan iPhone dengan cermin mata pintar akan akhirnya menjadi realiti.
Komen
Dengan menghantar komen, anda setuju dengan terma pengunaan AmanzMe.