ULASAN | Saya menyambut baik pelaksanaan program Sumbangan Asas Rahmah (Sara) yang bermula sejak 2024 dan diperluaskan ke Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah dan Sarawak sejak bermula 1 Apr lalu.
Langkah itu menjadikan penerima Sumbangan Tunai Rahmah dan Sara meningkat kepada 5.4 juta orang berbanding 700,000 sebelum ini.
Pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkenaan pemberian Sara sebanyak RM100 secara one-off semalam membolehkan semua warganegara berumur 18 tahun ke atas boleh menebusnya di lebih 4,100 premis peruncitan terpilih di seluruh negara.
Ia sesungguhnya langkah yang sangat melegakan rakyat.
Langkah itu merupakan inisiatif bersifat prihatin yang tepat pada masanya, terutama dalam membantu isi rumah asnaf dan B40 yang berdepan tekanan kos sara hidup. Sekurang-kurangnya bantuan berkenaan melegakan mereka menyediakan keperluan asas dapur.
Namun begitu, saya ingin menarik perhatian kerajaan terhadap satu kelompongan besar dalam pelaksanaan Sara.
Apa yang saya maksudkan ialah banyak kedai milik koperasi, pertubuhan peladang dan usahawan runcit di kampung-kampung serta kawasan dan luar bandar tidak tersenarai sebagai lokasi penebusan bantuan Sara.
Situasi ini menimbulkan beberapa isu:
1. Rakyat luar bandar terpaksa bergerak jauh untuk menebus bantuan masing-masing di bandar atau pekan besar.
2. Kedai-kedai terbabit akan terjejas kerana aliran pembelian harian mereka beralih ke kedai lebih besar yang disenaraikan.
3. Ekonomi tempatan tidak dirangsang, sedangkan niat asal bantuan kerajaan ialah untuk memulihkan ekonomi rakyat bawahan.
Justeru saya mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan beberapa langkah penambahbaikan:
• Luaskan penyertaan kedai milik koperasi, pertubuhan peladang dan kedai runcit milik usahawan kampung sebagai rakan penebusan bantuan.
• Sediakan skim galakan digitalisasi untuk bantu kedai kecil memasang sistem pembayaran menggunakan MyKad.
• Lantik sekurang-kurangnya satu wakil peruncit di setiap mukim sebagai lokasi sah tebusan.
• Gunakan saluran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), jawatankuasa surau, koperasi dan NGO tempatan untuk mengenal pasti dan membantu pendaftaran kedai kampung yang layak.
Pelaksanaan bantuan mestilah bersifat inklusif dan menyeluruh, bukan hanya tertumpu pada rangkaian peruncitan besar di kawasan bandar.
Kedai runcit kecil merupakan nadi ekonomi kampung, justeru kita tidak boleh biarkan mereka menjadi mangsa ketirisan dasar yang memang baik.
Kerajaan Madani mesti memastikan setiap bantuan yang digerakkan itu benar-benar sampai kepada semua lapisan rakyat, termasuk peniaga kecil yang selama ini setia berkhidmat kepada komuniti luar bandar.
MAHFUZ OMAR ialah Naib Presiden Amanah.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.