Realme P4 Power 5G Dilancarkan Dengan Bateri Besar 10,001mAh
Amy Maizuraa
Realme P4 Power telah rasmi dilancarkan di India sebagai peranti dengan kapasiti bateri terbesar setakat ini iaitu 10,001mAh. Untuk mengekalkan reka bentuk yang hanya setebal 9.08mm, Realme menggunakan teknologi bateri berasaskan silikon bagi memuatkan kapasiti besar tersebut.

Selain itu, bateri ini dijanjikan mampu mengekalkan sekurang-kurangnya 80% kapasiti asal selepas lapan tahun penggunaan dengan penarafan sehingga 1,650 kitaran pengecasan. Dari segi ketahanan, Realme menyatakan bahawa peranti boleh digunakan sehingga 12 jam untuk permainan Battlegrounds Mobile India (BGMI) berterusan atau menonton video YouTube lebih daripada 32 jam.

Menariknya lagi apabila walaupun bateri berada pada tahap 5%, ia masih boleh menyokong panggilan audio selama kira-kira satu jam. Sokongan pengecasan pantas 80W berwayar turut disediakan bersama port USB bagi tujuan pengecasan semula.


Realme P4 Power turut dibina untuk bertahan dalam persekitaran ekstrem. Baterinya dinilai mampu berfungsi pada suhu antara -30°C hingga 56°C meskipun kebanyakan bateri litium biasanya tidak tahan sejuk. Ia juga tahan hentakan, yang telah menjalani ujian jatuh dari ketinggian 1 meter, serta kalis air IP66/IP68/ IP69.

Realme P4 Power hadir dengan skrin 144Hz HyperGlow 4D Curve+ Display yang menyokong 1.07 bilion warna serta HDR. Tunjang utamanya dijana oleh cip Dimensity 7400 Ultra bersama cip khusus Hyper AI Chip, disamping pilihan memori sehingga 12GB RAM dan storan dalaman sehingga 256GB.
Realme turut menjanjikan sokongan kemaskini perisian selama 3 versi Android dan 4 tahun tampalan sekuriti yang menandakan komitmen terhadap pengalaman jangka panjang pengguna. Dari segi kamera, ia dilengkapi tetapan 50MP sudut lebar + 8MP ultra lebar manakala kamera swafoto beresolusi 16MP.






