WhatsApp Bangunkan Pelan Langganan Premium Dengan Fungsi Tambahan
Amy Maizuraa
Zaman sekarang, hampir semua platform media sosial mula menawarkan pelan berbayar dan WhatsApp juga tidak terkecuali. Baru-baru ini, tular berita bahawa Meta sedang membangunkan pelan langganan premium khusus untuk WhatsApp dengan fungsi tambahan yang eksklusif. Perkara ini turut didedahkan melalui perkongsian Wabetainfo.

Berbeza dengan perancangan terdahulu yang lebih menekankan kepada iklan, pelan baharu ini memberi tumpuan kepada ciri tambahan bagi meningkatkan pengalaman pengguna. Sistem senarai menunggu (waitlist) turut disediakan di mana pengguna akan menerima notifikasi sebaik sahaja pelan ini dilancarkan. Setelah melanggan, mereka akan dapat mengakses ciri baharu yang direka khusus untuknya.

Salah satu ciri yang sedang diuji ialah pilihan untuk menukar ikon aplikasi, yang membolehkan pengguna menyesuaikan penampilan WhatsApp pada peranti mereka. Namun begitu, memandangkan pelan ini masih dalam pembangunan, beberapa ciri lain yang sedang diuji berkemungkinan akan diubah sebelum pelancaran rasmi sekiranya tidak memenuhi jangkaan pengguna.
Harga langganan masih belum diumumkan dan dijangka berbeza mengikut negara. Sama seperti pelan bebas iklan, langganan premium ini adalah pilihan tambahan sahaja.






