Media Sosial OpenAI Akan Gunakan Imbasan Mata World ID Mengesahkan Pengguna Bukan Bot
Effi Saharudin
“Teori Internet Mati” mengatakan majoriti pengguna internet sekarang ialah bot dan bukannya manusia sebenar. Ini terbukti dengan penggunaan bot untuk mendengar lagu di Spotify bagi mengaut keuntungan, ulasan-ulasan palsu kaman edgang dan bot politik yang menyebarkan agenda jahat ketika pilihanraya.

Sebelum ini kami laporkan OpenAI sedang membangunkan platform media sosial untuk bersaing dengan X. Forbes hari ini melaporkan pula platform media sosial ini akan menggunakan imbasan mata untuk memastikan pengguna adalah manusia dan bukannya bot.
OpenAI akan menggunakan sistem World ID yang memerlukan anak mata diimbas menerusi peranti khas berbentuk glob. Glob ini adalah peranti yang pada asalnya dibangunkan oleh Tools for Humanity bagi mendaftar pemilik kripto World Coin yang kemudiannya ditukar nama kepada World. Tools for Humanity ialah anak syarikat Sam Altman maka penggunaan World ID untuk pengesahan identiti tidaklah mengejutkan.
Syarikat World menimbulkan kontroversi kerana mengumpul maklumat biometri pengguna daripada Malaysia, Brazil, Portugal, Hong Kong, Kenya, Sepanyol untuk mendapat 20WLD yang bernilai sekitar RM200. Akibatnya World telah diharamkan di Brazil dan Portugal kerana muncul kerisauan data peribadi diambil tanpa penerima kripto WLD menyedari implikasinya.






