Edits Dikemaskini Dengan Beberapa Ciri Baharu Termasuk ‘Copy and Paste’
Amy Maizuraa
Edits hadir dengan penambahbaikan yang mampu menjimatkan masa pengguna ketika membuat suntingan video. Walaupun kecil, setiap kemaskini memberi impak besar terhadap pengalaman penyuntingan.

Pertama adalah fungsi salin dan tampal (Copy and Paste) di mana pengguna kini boleh menyalin dan menampal elemen seperti font dan klip daripada satu projek ke projek lain atau dalam projek yang sama. Fungsi salin dan tampal pada garis masa ini sememangnya dinanti-nantikan dan akan mula ditawarkan pada peranti iOS minggu ini.

Melalui ciri tetapan garis masa baharu (Timeline Settings) pula, pengguna boleh klik pada nama projek untuk membuka menu tetapan yang lebih terperinci. Menu tersebut membolehkan pengguna menukar tetapan dengan pantas seperti panduan (guides), bingkai (frames), fungsi snapping, serta cara suntingan digunakan.
Seterusnya, kebolehan suntingan daripada trek utama (Apply Edits from Main Track). Melaluinya, suntingan yang dilakukan pada trek utama turut boleh digunakan secara automatik pada klip visual dan video. Dengan adanya fungsi ini, proses suntingan menjadi lebih teratur dan mudah dikawal. Semua ciri ini akan tersedia dalam versi terkini aplikasi.





