Imigresen Jelaskan Peranan MyNISSe, MyBorderPass Dan MyDigital ID – Tiada Pertindihan Aplikasi Berlaku
Amy Maizuraa
Berita mengenai integrasi MyDigitalID ke dalam aplikasi MyNISSe menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pengguna.

Ramai yang bimbang tentang kegunaan aplikasi MyBorderPass dan MyDigital ID bagi tujuan pelepasan imigresen melalui pintu automatik kod QR. Ada juga yang mempersoalkan mengapa perlu wujud banyak aplikasi untuk fungsi yang kelihatan sama.
Perkara ini mendapat perhatian Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang mengeluarkan kenyataan rasmi bagi mengelakkan kekeliruan. JIM turut menjelaskan perbezaan antara ketiga-tiga aplikasi tersebut.

Pertama, MyNISSe dibangunkan sebagai platform tunggal untuk menggabungkan semua urusan dan perkhidmatan imigresen Malaysia di bawah satu aplikasi. Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif transformasi jabatan melalui projek NIISe yang akan menggantikan sistem sedia ada secara berperingkat.
Seterusnya, MyBorderPass berfungsi sebagai penyelesaian sementara melalui ujian konsep bagi mengurangkan kesesakan di pintu masuk utama negara. Ia menggunakan pintu automatik kod QR terpilih dengan pendekatan bantuan serta merta lantas memastikan operasi sempadan berjalan lancar.
Manakala MyDigital ID pula ialah platform identiti digital yang berfungsi sebagai mekanisme pengesahan identiti tunggal (single sign-on) untuk pelbagai perkhidmatan kerajaan, termasuklah MyNISSe.

JIM menegaskan bahawa tiada pertindihan aplikasi seperti yang didakwa. Pelaksanaan semasa hanyalah fasa peralihan bersifat sementara bagi membolehkan pembangunan MyNISSe dilaksanakan sepenuhnya tanpa menjejaskan kelancaran operasi pintu masuk negara. Dalam masa sama, JIM turut memaklumkan bahawa perkhidmatannya akan terus ditambahbaik dengan penggunaan AI bagi memastikan operasi lebih efisien pada masa hadapan.






