Malaysia Oversight

PARLIMEN: Program MyLesen B2 bakal libatkan pelajar 

By Utusan in January 27, 2026 – Reading time 2 minute


KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan melaksanakan Program MyLesen B2 dalam kalangan pelajar sekolah menengah menunggang motosikal, bagi mengurangkan kes kemalangan membabitkan golongan itu.

Pelaksanaan program itu antara langkah intervensi dijalankan MOT dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) menyasarkan pelajar sekolah yang menunggang motosikal.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, antara faktor menyumbang kepada kemalangan motosikal adalah tingkah laku berisiko, interaksi trafik bercampur kenderaan berat, kurang kemahiran menunggang secara selamat serta tahap kesedaran keselamatan yang rendah.

Beliau berkata, risiko kemalangan menjadi lebih ketara dalam kalangan penunggang motosikal kerana tahap perlindungan fizikal adalah lebih rendah berbanding kereta yang mempunyai zon remuk.

“Program MyLesen B2 yang menawarkan latihan percuma kepada golongan B40 secara am sebelum ini akan disasarkan kepada sekolah menengah bagi memastikan pelajar-pelajar yang menunggang motosikal mendapat latihan formal dan berstruktur.

“Ini sekaligus mengurangkan risiko kemalangan akibat kurang pengalaman dan latihan menunggang,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Siti Aminah Aching (-Beaufort) yang memintanya menyatakan punca utama peningkatan kemalangan jalan raya terutama melibatkan penunggang motosikal.

Anthony berkata, MOT juga akan menyusun semula program pertukaran topi keledar percuma untuk menyasarkan pelajar-pelajar sekolah yang menunggang motosikal.

“Selain itu, MOT juga telah melaksanakan inisiatif Zon Sekolah Selamat atau MySafeSchool, yang menyokong dasar had laju 30 kilometer sejam di kawasan sekolah melalui penambahbaikan infrastruktur keselamatan seperti papan tanda had laju dan perabot jalan serta reka bentuk jalan yang memperlahankan kelajuan kenderaan.

“Ini bertujuan untuk meminimumkan risiko kemalangan melibatkan pelajar di kawasan sekolah, termasuk pejalan kaki, penunggang basikal serta penunggang motosikal,” katanya.

Anthony berkata, data Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Polis Diraja Malaysia tahun lalu menunjukkan, hanya 13.7 peratus kenderaan yang terlibat dalam kemalangan adalah motosikal.

“Namun jumlah kematian melibatkan pengguna motosikal adalah 66.4 peratus dengan golongan berumur 16 hingga 30 tahun dikenal pasti sebagai kumpulan paling berisiko,” katanya. – UTUSAN





Source link