Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari membidas seorang Adun dari Amanah kerana mendakwa parti Islam itu menerima “dana yang tidak didedahkan”.
Dia mengulas kenyataan Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim dalam satu sesi siaran langsung di TikTok, di mana rakamannya turut dimuat naik di media sosial itu.
“Saya menonton video ini yang penuh dengan fitnah dan pembohongan.
“Individu ini mendakwa PAS terima dana yang tidak dimaklumkan. Untuk orang ini, sila buktikan dakwaan kamu kerana kamu sudah jadi sebahagian dari kerajaan Pusat.
“Individu ini saya nasihatkan fokus kepada tugas beliau menyelesaikan isu penternakan babi di Selangor daripada sibuk menabur fitnah,” kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Izham dalam rakaman video itu mendakwa ketika dia menjadi bendahari PAS Selangor sebelum menyertai Amanah, Menteri Besar Selangor ketika itu, Khalid Ibrahim memberitahunya bahawa “sumbangan” pilihan raya untuk PAS itu telah diserahkan kepada ibu pejabat PAS pusat.
“Satu sen tak dibagi kepada (PAS) Selangor tau,” kata Izham dalam klip video tersebut, yang turut menampilkan beberapa laskar siber daripada PH.

Dakwaan PAS terima RM90 juta
Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli menggesa Izham memberikan bukti, dengan merujuk kepada beberapa tuduhan serupa terhadap PAS sebelum ini yang gagal dibuktikan.
“Minta PMX yang pernah dakwa PAS terima RM90 juta daripada Umno dengan membaca ‘kertas hitam’ itu arahkan siasatan dan buktikan segera.
“Bukan sahaja PMX gagal buktikan, bahkan ditambah pula dengan dakwaan pembangkang terima dana judi yang sehingga ke hari ini masih gagal dibuktikan,” kata Ahmad Fadhli.
Pada 2019, Anwar berjanji akan mendedahkan identiti pemimpin PAS yang didakwa menerima RM90 juta daripada Umno.
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang kemudian berkata dakwaan PAS menerima puluhan juta ringgit adalah mustahil kerana ia akan membolehkan parti itu menguasai seluruh negara.
Susulan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 yang menyaksikan Anwar memperoleh jawatan perdana menteri, Presiden PKR itu menegaskan bahawa dana pilihan raya PN sebahagiannya datang daripada syarikat judi yang terlibat dalam cabutan khas.

Susulan reaksi keras daripada pemimpin pembangkang, Anwar mengulangi semula dakwaannya dengan mengatakan dia “tidak bercakap tanpa bukti”.
PAS sebagai ahli komponen PN menegaskan adalah tidak munasabah bagi syarikat judi membiayai kempen pilihan raya PN memandangkan gabungan itu bertegas mahu menutup premis judi.
Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, turut menyifatkan “tuduhan liar” itu sebagai tidak berasas dan menggesa Anwar mengemukakan bukti.






