Dewan Rakyat bincang prestasi perdagangan 2025, dasar kemasukan murid tahun satu pada usia enam atau tujuh tahun, dan isu kemalangan motosikal.
KUALA LUMPUR: Prestasi perdagangan negara bagi tahun 2025 dan dasar kemasukan murid Tahun Satu menjadi fokus persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung meminta penjelasan Perdana Menteri mengenai prestasi dan nilai perdagangan 2025 serta hasil lawatan perdagangan ke luar negara.
Datuk Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) pula menanyakan rasional dan kriteria data untuk menentukan usia kemasukan murid Tahun Satu sama ada enam atau tujuh tahun.
Beliau juga bertanya mengenai tahap kesediaan kerajaan melaksanakan dasar itu serta implikasinya terhadap kebajikan murid.
Pada sesi soal jawab lisan, Datuk Siti Aminah Aching (BN-Beaufort) meminta Kementerian Pengangkutan nyatakan punca utama peningkatan kemalangan jalan raya melibatkan penunggang motosikal.
Beliau turut meminta penjelasan mengenai langkah kerajaan menangani isu tersebut.
Yeo Bee Yin (PH-Puchong) meminta Menteri Dalam Negeri nyatakan jumlah individu didakwa dan disabitkan kesalahan bawah Subseksyen 424a dan 424d Kanun Keseksaan.
Kesalahan itu berkaitan dengan memerangi akaun keldai yang terlibat dalam aktiviti penipuan.
Sesi esok akan menyaksikan upacara mengangkat sumpah Ahli Parlimen Kinabatangan baharu, Mohd Kurniawan Naim Moktar.
Beliau menang dalam Pilihan Raya Kecil pada Sabtu lepas mewakili Barisan Nasional.
Dewan Rakyat akan menyambung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja yang bermula minggu lepas.
Persidangan penggal kelima Parlimen ke-15 dibuka secara rasmi oleh Yang di-Pertuan Agong pada 19 Januari.
Menurut takwim, persidangan kali ini dijadual berlangsung selama 20 hari sehingga 3 Mac.






