Khaby Lame Menjual Syarikat Beliau Pada Harga $900 Juta
Effi Saharudin
Bintang TikTok Khaby Lame menjadi wajah dikenali ramai kerana video humor bersahaja beliau tanpa sebarang dialog. Beliau kini mempunyai lebih 360 juta pengikut di beberapa platform media sosial. Terkini, Khaby Lame menjual sebahagian pegangan syarikat media sosial beliau Step Distinctive Limited kepada Rich Sparkle Holdings pada nilai $900 juta.

Menerusi perjanjian ini, Rich Sparkle memperoleh hak eksklusif global ke atas aktiviti komersial Khaby selama 36 bulan. Ini adalah dalam bentuk penajaan, lesen, e-dagang, dan kolaborasi dengan jenama. Kemudian terdapat perancangan membangunkan kembar digital Khaby Lame untuk kandungan pelbagai bahasa, penstriman, dan penglibatan sepanjang masa. Menurut Rich Sparkle, potensi pendapatan tahunan jenama Khaby Lame akan mencecah $4 bilion setahun.
Di peringkat awal perniagaan akan memberikan tumpuan komersil di pasaran Amerika Syarikat, Timur Tengah, dan Asia Tenggara. Menerusi perjanjian ini, Khaby Lame menjadi seorang lagi selebriti media sosial yang menggunakan populariti atas talian untuk menjana pendapatan mewah. Dua minggu lalu MrBeast menerima pelaburan $200 juta daripada syarikat kripto Bitmine.






