Malaysia Oversight

Pembangkang persoal pelantikan Wan Suraya sebagai Ketua Audit Negara

By MkiniBM in July 23, 2025 – Reading time 3 minute
Pembangkang persoal pelantikan Wan Suraya sebagai Ketua Audit Negara


PARLIMEN | Ahli parlimen pembangkang hari ini mempersoalkan pelantikan Wan Suraya Wan Radzi sebagai Ketua Audit Negara dengan mempersoalkan sama ada pelantikannya mematuhi peraturan atau tidak.

Dalam perbahasan Laporan Ketua Audit Negara Siri 2 Tahun 2025 yang dibentangkan pada Isnin, beberapa ahli parlimen berpendapat jawatan Ketua Audit Negara tidak sepatutnya disandang oleh seorang penjawat awam.

Ketua Whip Bersatu, Ronald Kiandee (PN-Beluran), menegaskan Ketua Audit Negara yang dilantik di bawah Perlembagaan Persekutuan mestilah individu yang bebas dan tidak mempunyai hubungan dengan cabang eksekutif, selain tidak menjadi sebahagian daripada struktur pentadbiran negara.

Dia mendakwa Wan Suraya masih lagi merupakan penjawat awam dan mendesak menjelaskan jika pelantikan yang dibuat memenuhi syarat berkaitan pemisahan daripada eksekutif.

“Sebelum ini, Ketua Audit Negara biasanya dilantik daripada kalangan yang telah bersara, tetapi Ketua Audit Negara sekarang adalah penjawat awam, yang menimbulkan keraguan jika pelantikan itu benar-benar bebas daripada pengaruh eksekutif,” katanya.

Wan Suraya dilantik menjadi Ketua Audit Negara pada Jun 2023.

0238698f694881d7ea980348fdc6d91d
Ronald Kiandee

Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Zuki Ali, menyatakan pelantikan tersebut dibuat berdasarkan kepimpinan dan pengalaman luas Wan Suraya selama 29 tahun dalam perkhidmatan awam.

Pelantikan itu juga mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al -Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Mengikut Perkara 105 Perlembagaan Persekutuan, Ketua Audit Negara dilantik oleh Agong atas nasihat perdana menteri.

Wan Suraya sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara (2020-2021), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (2018-2020), serta Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (2016-2018).

Hanya hantar wakil

Ronald turut mendakwa Jabatan Audit Negara (JAN) terlibat secara terbuka dalam program-program , dengan pegawai-pegawainya diarahkan menghadiri acara Madani sebagai “tukang sorak”.

“(Staf jabatan) juga diarahkan untuk like semua hantaran Ketua Audit Negara di Facebook, dan ganjaran RM250 diberikan kepada mereka yang paling kerap memberi tanda suka,” dakwanya.

Radzi Jidin (PN-) turut membangkitkan satu hantaran di media sosial oleh jabatan itu yang didakwa mempromosikan program yang akan berlangsung pada 26 Julai di Taiping.

“Selepas semakan lanjut, saya dapati program ini melibatkan kementerian dan agensi kerajaan, terutamanya ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan) di bawah Jabatan Perdana Menteri.

rad

70f49bbcce137bab138d211593b511ce
Radzi Jidin

“Bagaimana kerajaan boleh arahkan Jabatan Audit Negara terlibat?

“Kalau satu hari nanti program ini perlu diaudit, bagaimana JAN hendak laksanakan audit pada keseluruhan program ketika mereka sendiri menjadi pendukung dan mempromosikan program itu?” katanya yang tidak menolak kemungkin wujud potensi amalan “audit sendiri”.

Radzi turut mendakwa Wan Suraya enggan hadir ke prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan hanya menghantar wakil.

“Adakah ini kerana campur tangan dan tekanan daripada pihak eksekutif? Adakah ini taktik baru kerajaan Madani untuk menjejaskan PAC selepas melantik ahli pembangkang sebagai pengerusi?” soalnya.

Harap tak putus asa

Sementara itu Pengerusi PAC, Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah), dalam perbahasannya mengesahkan Wan Suraya memohon pengecualian atas alasan “konflik kepentingan”

Ketua Wanita Bersatu itu juga menyatakan ia sesuatu yang membimbangkan kerana sebelum ini, tiada siapa pernah mohon pengecualian atas alasan tersebut.

Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) pula menegaskan jika pelantikan Wan Suraya melanggar peraturan, maka kredibiliti laporan audit yang diluluskan ketika tempoh perkhidmatannya akan terjejas.

Bagaimanapun beberapa ahli parlimen kerajaan tampil mempertahankan Wan Suraya, termasuk Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) dan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru).

d1ef6585e51fd3983f24e196fd0366e7
Mas Ermieyati Samsudin

Khoo berkata usaha JAN dalam menghasilkan laporan audit tidak boleh dinafikan dan Wan Suraya telah melaksanakan tugasnya dengan baik.

“Saya harap JAN tidak putus asa dengan serangan pihak pembangkang,” katanya.

Sim yang juga ahli PAC pula menuduh Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengelirukan Dewan Rakyat apabila mendakwa laporan audit yang sedang dibahas telah memilih kementerian tertentu secara selektif untuk diaudit.

Perbahasan mengenai laporan audit itu bersambung pada jam sesi petang.


Laporan oleh Qistina Nadia Dzulqarnain, Zarrah Morden, Shakira Buang



Source link