Malaysia Oversight

Bekas CEO tuntut pampasan RM10 juta dari SMM

By MkiniBM in July 23, 2025 – Reading time 2 minute
Bekas CEO tuntut pampasan RM10 juta dari SMM


Bekas CEO Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) Jontih Enggihon menuntut pampasan sebanyak RM10 juta daripada syarikat milik Sabah itu susulan kenyataan yang dikeluarkan berhubung kontroversi jet peribadi.

Peguamnya, Chin Tek Ming berkata tuntutan itu dibuat sebagai tindak balas kepada dakwaan SMM bahawa kemunculan semula gambar jet peribadi yang dikaitkan dengan CEO syarikat, Natasha Sim adalah sebahagian daripada tindakan balas berkaitan kes mahkamah yang sedang berjalan.

Selain pampasan, Jontih juga menuntut agar SMM membuat permohonan maaf terbuka dan menarik balik semua kenyataan berunsur fitnah terhadap dirinya.

“Anak guam saya menafikan sekeras-kerasnya penglibatannya dalam penyebaran gambar tersebut dan tiada kaitan langsung dengan artikel berita yang berkaitan.

“Maka kenyataan SMM yang mengaitkannya dengan pendedahan gambar itu jelas menunjukkan niat jahat (mala fide) di pihak SMM,” kata Chin dalam kenyataan.

Dia mengesahkan surat tuntutan telah diserahkan kepada wakil SMM pagi tadi di Plaza Shell, Kota Kinabalu.

8d1fabe042be5a5c3e2518fa1d76de94

“Saya tidak dibenarkan naik ke pejabat SMM di tingkat tujuh. Jadi pengawal keselamatan di kaunter bawah telah menghubungi kakitangan SMM untuk turun dan menerima surat tuntutan.

“Saya tidak faham mengapa wujud sekatan seperti itu untuk orang awam ke pejabat SMM. Sebagai syarikat berkaitan (GLC), bukankah pejabatnya sepatutnya mudah diakses oleh orang ramai?” soal Chin.

‘Tiada bukti salah laku’

Pada 18 Julai lalu, Malaysiakini melaporkan berkenaan penyebaran gambar yang didakwa menunjukkan CEO SMM setiausaha syarikat Emily Chong dan taikun balak Sabah Elbert Lim, di sebelah jet yang dikatakan milik seorang jutawan arang batu dari Indonesia.

Susulan itu, SMM berkata siasatan dalaman yang selesai pada Februari lalu tidak menemui sebarang bukti berlakunya konflik kepentingan, penyalahgunaan kuasa untuk keuntungan peribadi, atau pengaruh luar yang berkaitan dengannya.

Ia turut menjelaskan bahawa syarikat itu  bukan pihak berkuasa pelesenan mengeluarkan lesen dan CEO tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan sebarang lesen.

SMM percaya kemunculan semula gambar yang diambil pada Ogos 2024 itu mungkin bermotif politik, memandangkan syarikat itu sedang terlibat dalam saman terhadap Jontih dan ahli perniagaan Albert Tei, yang sebelum ini mendedahkan skandal perlombongan di Sabah.



Source link