PAS Sabah menggesa SPRM menyiasat dakwaan yang lesen penerokaan mineral berskala besar di Kalabakan di negeri itu telah diberikan kepada sebuah syarikat yang didakwa ada kaitan dengan bekas pegawai Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador.
Ketua Penerangan PAS Sabah Mustaman Mustain berkata walaupun Farhash dan Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) telah menafikan dakwaan tersebut, minit mesyuarat yang bocor menunjukkan sebaliknya.
“Skandal ini jelas telah menimbulkan persoalan besar mengenai ketelusan, integriti dan kepentingan rakyat Sabah, khususnya dalam pengurusan sumber asli negeri.
“Tambahan pula, skala kawasan yang terlibat sangat besar dan tiada penjelasan langsung tentang kesan kepada alam sekitar, penduduk tempatan serta proses penilaian teknikal yang sepatutnya dilakukan,” katanya dalam kenyataan.

Mustaman menegaskan SPRM perlu memulakan siasatan dengan segera dan memanggil semua individu yang dinamakan dalam laporan dan dokumen yang bocor itu untuk memberikan keterangan.
“Sebarang kelewatan menyiasat boleh membuka ruang kepada pemusnahan kekayaan bumi Sabah serta kehilangan kepercayaan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan,” katanya lagi.
Pada masa sama, sama, dia berkata kerajaan nSabah dan SMM perlu mendedahkan semua maklumat berkaitan syarikat yang diberikan lesen tersebut, termasuk pemilik sebenar, sumber pembiayaan dan struktur pemilikannya.
Dia turut menggesa agar SMM menjalankan audit menyeluruh secara bebas oleh agensi yang berkecuali.
“Sekiranya didapati terdapat unsur penipuan, manipulasi minit mesyuarat atau konflik kepentingan dalam pemberian lesen, semua pihak terbabit mesti diheret ke muka pengadilan tanpa kompromi,” katanya.
PAS Sabah turut menuntut agar kelulusan kepada Bumi Suria Sdn Bhd digantung serta-merta sementara siasatan penuh dijalankan, bagi mengelakkan sebarang urus niaga yang tidak sah, kerosakan alam sekitar atau pencabulan hak masyarakat setempat.
“Tuntasnya, rakyat Sabah tidak akan terus menjadi penonton dalam urusan yang melibatkan tanah dan hasil bumi negeri ini.
“Sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa, pengkhianatan terhadap amanah atau pemilikan yang menyalahi prosedur terhadap kekayaan negeri ini akan ditentang sepenuhnya,” katanya lagi.
Pada Isnin lalu, Farhash telah membuat laporan polis terhadap portal MalaysiaNow dengan mendakwa bahawa dakwaan yang disiarkan adalah palsu dan berunsur fitnah.