Malaysia Oversight

Kementerian nafi laporan tanah Malaysia diserahkan kepada Indonesia

By TheSun in January 23, 2026 – Reading time 1 minute
Kementerian nafi laporan tanah Malaysia diserahkan kepada Indonesia


Kementerian Sumber Asli jelaskan dakwaan media beri 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan adalah tidak tepat

: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menjelaskan bahawa laporan media mendakwa Malaysia menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung di kawasan Nunukan berhampiran sempadan Sabah–Kalimantan adalah tidak tepat.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata penyelesaian isu persempadanan darat antara Malaysia dan Indonesia dibuat tanpa berlandaskan prinsip timbal balik, pampasan atau untung-rugi.

Katanya rundingan berkaitan penandaan dan pengukuran di kawasan Isu Sempadan Tertunggak (OBP) dilaksanakan secara harmoni antara kedua-dua negara, selaras dengan undang-undang antarabangsa dan perjanjian sempadan sedia ada.

Beliau berkata pemuktamadan pengukuran sempadan darat itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MOU) Malaysia-Indonesia pada 18 Feb 2025 selepas melalui lebih 45 tahun proses rundingan teknikal yang komprehensif dan telus.

“Hasrat Malaysia dan Indonesia untuk menyegerakan penyelesaian isu sempadan darat bagi sektor Sabah-Kalimantan Utara (KALTARA) telah dipersetujui semasa lawatan negara mantan Presiden Indonesia Joko Widodo ke Malaysia pada 8 Jun 2023, yang turut melibatkan penglibatan aktif wakil Sabah sebagai sebahagian delegasi Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.



Source link