Malaysia Oversight

Polis bertegas tiada petugas kesihatan di ‘pesta gay’, NGO kata sebaliknya

By MkiniBM in July 23, 2025 – Reading time 3 minute
Polis bertegas tiada petugas kesihatan di ‘pesta gay’, NGO kata sebaliknya


Polis mempertahankan dakwaan bahawa acara yang diserbu pada 17 Jun lalu merupakan “pesta gay”, dengan menyatakan tiada petugas kesihatan hadir ketika serbuan dibuat.

Namun, dakwaan itu dipertikai seorang aktivis NGO yang memantau acara tersebut, yang berkata tujuh petugas kesihatan dari NGO turut terlibat dan berada di lokasi semasa serbuan.

Dalam kenyataan semalam, Ketua Polis Mohd Yusoff Mamat memaklumkan jemputan ke acara tersebut yang dilihat polis dan disebarkan dalam beberapa kumpulan WhatsApp tidak menyatakan ia merupakan program kesihatan.

Pesanan jemputan yang dikongsikan oleh pihak polis itu hanya menyebut tentang acara perjumpaan santai, tanpa menyatakan ia adalah pesta gay. 

Namun, Yusoff turut menegaskan bahawa mesej itu juga tidak menyatakan penglibatan mana-mana NGO, klinik atau Kementerian Kesihatan.

Selain itu, mesej jemputan itu juga seperti tidak menyokong dakwaan awal Yusoff bahawa terdapat bayaran penyertaan, dan tiada bukti lain yang dikemukakan dalam kenyataan media polis bagi menyokong dakwaan tersebut.

Sebelum ini, beberapa NGO termasuk Majlis Aids Malaysia (MAC) menjelaskan acara tersebut sebenarnya adalah program kesihatan yang memberi tumpuan kepada kesedaran HIV dan bukannya “pesta gay” seperti yang didakwa.

Kementerian Kesihatan juga mengesahkan yang ada sebuah program kesihatan yang sah diadakan pada hari tersebut, dianjurkan oleh sebuah NGO dengan sokongan kementerian.

Polis bertindak berjaga-jaga, tiada niat diskriminasi

Mengulas kronologi kejadian dari sudut pandang polis, Yusoff berkata pihaknya mula memantau kawasan acara sekitar jam lima petang, iaitu tiga jam sebelum ia bermula.

Apabila acara bermula, polis mendapati mereka yang hadir sedang makan dan berbual. 

Katanya, kebanyakan peserta telah beredar sebelum jam 11 malam, tetapi polis terus menunggu demi keselamatan awam.

“Pasukan serbuan telah mengambil langkah berjaga-jaga dan hanya menjalankan tindakan sekitar jam satu pagi, bagi memastikan operasi berjalan lancar tanpa risiko kepada keselamatan awam.

“Semasa serbuan, polis mendapati seramai 20 orang lelaki berada di premis berkenaan dan mereka mengaku merupakan komuniti gay.

“Semasa serbuan dijalankan juga, didapati tiada wakil dari pegawai NGO, atau wakil mana-mana agensi kesihatan hadir, termasuk KKM.

“Tindakan polis berasaskan maklumat risikan dan bukti yang sah, tanpa sebarang niat diskriminasi,” katanya lagi.

Petugas kesihatan ada ketika serbuan

Ketika dihubungi, pengasas bersama dan penyelidik Justice for Sisters (JFS), Thilaga Sulathireh, menolak penjelasan polis.

Walaupun mengesahkan pegawai dari KKM sudah beredar sebelum serbuan, aktivis itu berkata terdapat tujuh petugas kesihatan daripada NGO yang masih berada di lokasi semasa serbuan dilakukan.

f52ac705eaac28def60735ebf758b121
Thilaga Sulathireh

“Petugas kesihatan NGO masih ada di situ. Malah, semasa serbuan berlaku, mereka sempat menghubungi rakan sekerja mereka,” kata Thilaga kepada Malaysiakini.

Dia berkata dokumentasi oleh JFS menunjukkan petugas kesihatan tersebut telah memaklumkan kepada polis bahawa ia adalah program kesihatan. 

Namun, mereka turut dikenakan ujian air kencing, katanya lagi.

JFS turut menjelaskan mengapa kenyataan awal oleh NGO pada hujung minggu lalu menyebut kesemua 20 individu yang ditahan merupakan peserta yang sedang menunggu keputusan ujian HIV.

Menurut Thilaga, pada ketika itu, bahasa yang digunakan dalam kenyataan adalah bersifat umum ekoran beberapa pertimbangan dan kebimbangan.

Majlis Aids Malaysia pula memaklumkan sesi tersebut berlanjutan melepasi tengah malam kerana ujian HIV dijalankan secara sulit dan profesional, selain ia mengambil masa.

Dalam serbuan itu, tiga individu ditahan dan kemudian didakwa atas pertuduhan memiliki bahan lucah.

Dalam kenyataannya, Yusoff turut memperincikan jenis bahan lucah yang ditemui. 

Namun, menurut peguam kepada ketiga-tiga tertuduh, Samantha Chong, butiran tersebut tidak dinyatakan dalam pertuduhan yang difailkan di mahkamah.

Ketiga-tiganya mengaku bersalah pada Ahad lalu dan masing-masing didenda antara RM3,000 hingga RM4,000.



Source link