Samsung Display Dilaporkan Akan Menghasilkan Paparan OLED Untuk iPhone 18 Pro
Nazrin
Samsung Display ialah anak syarikat gergasi teknologi dari Korea Selatan yang membekalkan panel paparan skrin (khususnya OLED) untuk pelbagai jenama peranti pintar, termasuklah siri peranti Apple iPhone Pro.
Terkini, ia telah dilaporkan bahawa Samsung Display sekali lagi akan membekalkan paparan skrin tersebut untuk peranti pintar Apple akan datang, iaitu siri Apple iPhone 18 Pro dan iPhone 18 Pro Max. Panel yang akan dibekalkan ialah paparan skrin OLED LTPO+ (Low-Temperature Polycrystalline Silicon Oxide Plus).

Kelebihan penggunaan panel LTPO+ ini ialah ia hadir dengan penggunaan kuasa bateri yang lebih cekap, dibantu oleh kadar segar semula 1-120Hz. Bukan itu sahaja, iPhone 18 Pro dan 18 Pro Max juga dijangka akan hadir dengan kamera bawah paparan, dan fungsi Dynamic Island dijangka akan berubah dengan peranti baru ini.
Dalam pada itu, panel LTPO+ Samsung ini juga dijangka akan menjadi satu-satunya panel OLED LTPO+ yang boleh digunakan dalam sebuah peranti boleh-lipat, dan akan dimanfaatkan dalam peranti iPhone Fold yang diura-urakan sebelum ini.
Untuk peranti-peranti iPhone asas mereka, Apple nampaknya akan menggunakan panel skrin yang dihasilkan oleh BOE pada peranti iPhone 18 akan datang.





