KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menilai semula had ambang lapan juta pengguna bagi pengecualian pelesenan platform digital susulan insiden Grok AI yang memberi kesan kepada keselamatan awam.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, X dikecualikan daripada pelesenan kerana tidak mencapai ambang lapan juta pengguna di Malaysia.
“Bagaimanapun, kerajaan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan menilai semula ambang ini memandangkan insiden kemudaratan dalam talian yang berlaku,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Mumtaz Md. Nawi (PN-Tumpat) mengenai langkah susulan sekatan sementara akses AI Grok di Malaysia bagi perlindungan kumpulan rentan agar dapat melindungi mereka daripada kandungan berbahaya dalam media sosial.
Fahmi berkata, kerajaan juga memberi tumpuan kepada pengukuhan tadbir urus kecerdasan buatan (AI) serta tanggungjawab penyedia perkhidmatan dalam talian bagi menjamin kandungan yang dijana bagi mengelakkan penyalahgunaan teknologi itu.
Katanya, ia termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA 2025) di mana pendekatan ini disokong dengan kawal selia kandungan lebih ketat, pemantauan berterusan dan peningkatan kesedaran awam bagi melindungi rakyat.
Menurut Fahmi, pihak X sedia untuk hadir ke Malaysia dan komited untuk bekerjasama secara bagi memastikan pengguna khususnya kanak-kanak bawah 16 tahun tidak terdedah kepada risiko dalam platform media sosial.
“Isu aplikasi Grok adalah unik kerana X merupakan platform media sosial, manakala Grok adalah aplikasi AI yang wujud dalam persekitaran hibrid sama seperti fungsi AI dalam beberapa aplikasi pemesejan lain,” katanya. – UTUSAN





