PUTRAJAYA: Malaysia perlu mengambil pendekatan lebih agresif dalam memodenkan aset ketenteraan sekali gus menutup jurang keupayaan dan mengelakkan tragedi aset usang berulang.
Penganalisis pertahanan, Shah Mohd Akmal Abdul Halim berkata, aset ketenteraman usang bukan sekadar kelemahan teknikal sebaliknya ancaman keselamatan yang tidak boleh dipandang ringan.
Beliau berkata, nyawa yang terkorban di luar medan perang bukan sahaja kehilangan strategik besar sebaliknya mendedahkan kelemahan ATM dalam menjaga aset dan modal insan negara.
“Sejak 1996, pesawat Hawk milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah terlibat dalam beberapa insiden tragik, dengan sembilan juruterbang terkorban akibat kegagalan teknikal, termasuk kes pesawat tergelincir ketika mendarat pada Mei lalu.
“Program pemodenan aset ketenteraan mesti dilihat sebagai tanggungjawab agenda nasional yang kritikal. Ia bukan sekadar soal beli peralatan baharu, tetapi tentang kesejahteraan dan keselamatan perajurit kita,” katanya ketika dihubungi, semalam
Katanya, negara-negara jiran seperti Indonesia, Vietnam dan Filipina kini sedang berlumba-lumba meningkatkan keupayaan ketenteraan masing-masing, termasuk perolehan kapal perang dan pesawat tempur generasi baharu.
Shah Mohd Akmal berkata, kerajaan tidak harus menangguhkan pemodenan aset ketenteraan ini dengan alasan politik atau kekangan birokrasi.
“Kita bukan sahaja ketinggalan, malah membuka ruang kepada pelbagai ancaman kompleks dalam persekitaran keselamatan serantau yang semakin dinamik,” katanya.
Katanya, beliau menyambut baik langkah kerajaan mempercepat pembinaan dua pesawat pemantauan maritim (MPA) dan helikopter AW149 namun, ia mesti diterjemah kepada pelaksanaan tanpa kelewatan.
Dalam pada itu, katanya, ketegasan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mahu menjadikan pemodenan aset ketenteraan sebagai agenda besar kementerian dan ATM dilihat mampu memperkukuh keupayaan pertahanan negara secara menyeluruh.
“Pendekatan pro-diplomasi pertahanan, pro-penyelidikan dan pro-teknologi yang digariskan oleh beliau perlu disokong dengan pelaksanaan perolehan yang lancar, tanpa gangguan atau kelewatan yang boleh menjejaskan kesiagaan tempur negara,” katanya. – UTUSAN