Malaysia Oversight

Polis patut tumpu tangani jenayah sebenar, bukan periksa telefon

By MkiniBM in July 23, 2025 – Reading time 2 minute
Polis patut tumpu tangani jenayah sebenar, bukan periksa telefon


Seorang peguam menggesa pihak polis agar menggunakan sumber mereka kepada usaha membanteras jenayah sebenar, bukannya memeriksa kandungan dalam telefon orang awam.

Samantha Chong menyuarakan kritikan itu menerusi hantaran di Facebook, selepas anak guamnya ditahan selama lima hari di dan didakwa serta dikenakan denda kerana memiliki kandungan lucah dalam peranti mereka.

Menurutnya, pengalaman itu telah menyebabkan tiga anak guamnya mengalami trauma.

“Saya harap polis akan lebih memberi tumpuan kepada jenayah lain seperti pengedaran dadah, jenayah ganas, eksploitasi seksual kanak-kanak, keganasan rumah tangga, rasuah, penipuan, dan mengesan bekas suami yang enggan membayar nafkah anak — bukannya memeriksa telefon kita semua,” katanya.

Menurut laporan Bernama, tiga tertuduh — dua daripadanya pelajar universiti — didenda antara RM3,000 hingga RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu pada Ahad lalu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki bahan lucah.

Mahkamah menjatuhkan denda RM4,000 terhadap Al Azamuddin Al Fadzil, 22, dan Syahmi Firas Jurij, 27, manakala Hanafi Ibrahim, 47, dikenakan denda RM3,000.

Majistret Wan Izzat Wan Abdullah merekodkan pengakuan bersalah mereka terhadap pertuduhan berasingan.

Pihak pendakwaan mendakwa ketiga-tiganya memiliki gambar dan video lucah dalam telefon masing-masing, yang ditemui ketika serbuan di sebuah kediaman di Jalan Kemumin, Kampung Pulau Belacan di Panchor pada jam 1.15 pagi 18 Jun lalu.

Mereka ditahan selepas menghadiri satu program kesihatan di lokasi berkenaan, yang kemudiannya diserbu polis yang mendakwa ia merupakan “parti gay”.

“Saya ingin tegaskan yang tiada dadah ditemui, tiada sesiapa ditangkap sedang mengambil dadah malam itu. Tiada hubungan seks berlaku di tempat program. Malah terdapat kain rentang besar dengan tulisan ‘Program Mesra Kesihatan Komuniti’.

“Doktor dari klinik kesihatan dijemput untuk beri ceramah mengenai pencegahan dan kesedaran HIV. Sesi kaunseling juga dijalankan. Hanya selepas polis tidak menemui apa-apa, barulah mereka mula menyemak telefon satu per satu.

“Maka jangan sesekali layari laman lucah dengan telefon anda. Walaupun anda telah padam gambar atau video lucah, polis masih boleh mengaksesnya. Pastikan tiada sebarang gambar atau video lucah dalam telefon anda,” kata Chong lagi.

Pengesahan KKM

Pada 18 Julai lalu, gabungan 31 NGO dan individu menolak dakwaan polis bahawa program itu merupakan acara untuk golongan gay, dan menegaskan ia sebenarnya adalah program kesedaran HIV dan kesihatan yang sah.

Dalam kenyataan bersama, mereka menyifatkan program pada Jun lalu di Kota Bharu itu sebagai satu usaha kesihatan awam untuk menyediakan akses kepada perkhidmatan berkaitan HIV.

Semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan program tersebut sememangnya merupakan program kesihatan oleh sebuah NGO berkaitan HIV, yang turut disokong oleh kementerian.

Bagaimanapun, KKM tidak mengulas berkaitan serbuan polis.

Pengesahan itu dibuat menerusi jawapan Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad di X malam tadi, sebagai respons kepada hantaran yang memintanya mempertahankan program kesedaran HIV itu.  

Dalam jawapannya, Dzulkefly memuat naik terjemahan bahasa Inggeris kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengarah Kesihatan Dr Zaini Hussin semalam – yang juga dilampirkannya – berkenaan program tersebut.  



Source link