Berbeza daripada nadanya yang lazimnya serius di media sosial, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkongsi satu hantaran nakal sebaik sebelum tengah malam semalam — mengembalikan semula frasa yang sejak sekian lama menjadi bahan politik pihak lawannya.
Dalam satu video pendek yang dimuat naik di Facebook, Anwar dilihat berkata, “Saya ulang, hari ini dalam pilihan raya kita menang, saya umum…”, sebelum rakaman terputus secara dramatik dan disambung dengan lagu klasik P. Ramlee, Tunggu Sekejap.
Frasa ikonik “saya ulang” itu berasal daripada era Anwar memimpin blok pembangkang, ketika dia dengan tegas menjanjikan bahawa kemenangan PH akan segera membawa kepada penurunan harga minyak.
Namun, janji itu kini menjadi hal yang sensitif, terutama selepas kerajaan mengumumkan rancangan untuk merasionalisasi subsidi petrol.
Tahun lalu, kerajaan telah menarik balik subsidi diesel di stesen minyak dan menggantikannya dengan subsidi bersasar.
Rasionalisasi subsidi RON95 berdepan halangan
Anwar dijangka membuat pengumuman mengenai “penghargaan luar biasa” oleh pentadbirannya pada jam 10.30 pagi ini.
Semalam, jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil memaklumkan pelaksanaan subsidi bersasar bagi RON95 akan ditangguhkan bagi kajian semula yang lebih menyeluruh.
Katanya, kerajaan sedang meneliti semula dasar tersebut bagi mengelakkan kesan buruk kepada rakyat, sambil menambah Perdana Menteri dalam sesi pemukiman bersama Ahli Parlimen baru-baru ini menekankan yang dasar tidak harus memudaratkan majoriti rakyat Malaysia.
Dalam satu hantaran sebelum ini, Anwar menggambarkan “penghargaan luar biasa” itu sebagai tanda terima kasih kerajaan kepada rakyat Malaysia yang terus teguh menyokong perjalanan reformasi negara.
Dia mula memberi bayangan tentang perkara itu pada 15 Julai lalu, yang mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan rakyat.
Penghargaan ini diumumkan menjelang perhimpunan anjuran pembangkang di Kuala Lumpur pada 26 Julai, bagi menuntut Anwar meletakkan jawatan.
Ia juga mencetuskan pelbagai spekulasi, termasuk berkaitan harga petrol sehinggalah kemungkinan pelaksanaan dasar kerja empat hari seminggu.